Empat pelajar hasilkan makanan kucing
JITRA - Seramai empat pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN) di sini berjaya menghasilkan makanan kucing yang berkhasiat dan menjimatkan melalui penggunaan bahan semula jadi.
Nur Sakinah Samsudin,16, berkata, dia bersama tiga lagi rakan menghasilkan makanan itu pada Julai lalu selepas guru Bahasa Melayu mereka Mohd Sobri Mohd Rosdi, membelanjakan lebih RM200 sebulan untuk membeli makanan untuk 15 ekor kucing peliharaannya.
Katanya, dia dan rakan-rakan berhasrat untuk membantu guru berkenaan dan mula membuat kajian dan mencari maklumat di internet.
"Akhirnya kami mendapat idea untuk menghasilkan makanan kucing menggunakan telur kuning, ayam, ikan, labu manis dan ubi kentang.
"Kesemua bahan itu direbus terlebih dahulu sebelum dikisar. Kemudian kami cuba beri kepada kucing -kucing berkenaan dan Alhamdulillah semuanya suka makanan itu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Menurutnya, penghasilan produk itu sangat ekonomi selain memberi nutrisi yang baik untuk kucing.
"Cara penyimpanannya juga cukup mudah kerana hanya perlu disimpan dalam peti sejuk dan mampu bertahan selama seminggu.
"Alhamdulillah, produk ini semakin mendapat permintaan daripada rakan-rakan sekolah serta guru termasuk orang luar.
"Apatah lagi harga yang kami tawarkan juga sangat berbaloi iaitu RM2 bagi setiap 100 gram makanan itu," katanya.
Tambahnya, mereka juga bercadang menyertai Pertandingan International Industrial Revolution 4.0 Exposition (IREx2019) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok pada 19 September ini untuk mendapatkan pengalaman yang lebih luas dalam bidang inovasi.
Sementara itu, Mohd Sobri berkata, sebelum ini beliau melaburkan wang yang banyak untuk membeli pelbagai jenis vitamin demi memastikan kucingnya gebu, sihat dan aktif.
"Sejak mengamalkan produk makanan ini, saya dapat menjimatkan kos makanan mereka. Kucing -kucing saya juga tidak lagi mengalami masalah bulu gugur dan semakin aktif," katanya.
Katanya, beliau yakin produk ini akan menjadi pilihan orang ramai yang mementingkan kualiti bagi sumber makanan haiwan peliharaan mereka. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!