Gergasi Merah kena menang

Pemain lincah Selangor, Faiz Nasir (tengah) dijangka diturunkan bagi misi melakar kemenangan di Jengka, malam tadi.
Pemain lincah Selangor, Faiz Nasir (tengah) dijangka diturunkan bagi misi melakar kemenangan di Jengka, malam tadi.
A
A
A

SELANGOR tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas Felda United pada aksi terakhir Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam ini demi mempertahankan status skuad Gergasi Merah dalam saingan berprestij bola sepak tanah air itu.

Ketua jurulatihnya, B Sathianathan berkata, kesemua pemain Merah Kuning perlu beraksi sebaik mungkin demi merealisasikan misi kemenangan berkenaan untuk layak ke saingan suku akhir.

Bagaimanapun Sathianathan menyedari, tugas berat menanti kesebelasan anak-anak didiknya apatah lagi skuad The Fighters itu masih segar dengan kejayaan menewaskan PDRM 1-0, Sabtu lalu.

“Saya tahu tugas berat kerana kita tahu Felda memang kuat. Dari dulu kita nak beritahu memang susah main dengan team macam ni. Ramai yang kata Felda akan turun ke Liga Premier, tetapi mereka bangkit. Tak ada tekanan dan semua pemainnya berbakat.

“Kita dah main dengan Felda tiga kali dan kali ini main di Jengka. Kita pernah menang di Jengka, tetapi itu kisah lama. Sekarang semakin lama semakin Felda semakin yakin dan saya tahu ini (perlawanan) adalah tugas berat. It’s a do or die mission,” katanya kepada Sukan Sinar.

Untuk rekod, Selangor berada pada kedudukan kedua Kumpulan D dengan tujuh mata hasil satu kemenangan, empat seri daripada lima perlawanan setakat ini.

Sementara Felda United pula mengumpul tujuh mata setakat ini hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali daripada lima perlawanan di kedudukan ketiga.

Dalam pada itu, Sathianathan berharap kesemua pemain dapat melupakan seketika beberapa masalah dalaman seperti masalah kontrak dan sebagainya bagi memberikan fokus pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemain juga perlu menghormati kontrak masing-masing dan bermain bermati-matian untuk memastikan kejayaan pasukan.

“Inilah fasa yang paling susah. Harap pemain lupakan benda macam ini dan akur dengan perjanjian kontrak dan hormati kontrak.

“Pada masa sama, saya juga kehilangan khidmat pemain import Sandro da Silva dan akan gunakan khidmat Syazwan Zainon walaupun masih belum pulih sepenuhnya, selain itu Wan Zack Haikal juga sudah lama cedera menyebabkan kita tidak seimbang di jentera serangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!