Jangan tunggu dapat penyakit baru nak menyesal!
RISAU memikirkan berat badan semakin lama semakin bertambah, hendak bersenam seribu macam alasan ada dalam kepala Merak.
Cara paling mudah ialah dengan mengamalkan diet.
Buat masa sekarang, ada bermacam-macam teori dan ilmu diet bertebaran di internet dan mudah dibaca dengan penuh tekun supaya semangat untuk jaga makan meresap ke dalam jiwa.
Dengan jari jemari yang kelihatan montel ini, Merak Jalanan cari saja dalam Google dan terjumpalah pelbagai kaedah serta petua.
Antara yang popular ialah diet ketogenik, diet vegetarian, diet kalori, diet keto, diet dubrow dan banyak lagi.
Merak Jalanan sudah nekad dan buat keputusan, mulai esok Merak Jalanan akan amalkan diet serta pemakanan seimbang supaya misi untuk mencapai berat badan ideal tercapai.
Bagaimanapun, hasrat itu terbantut juga kerana sahabat Merak Jalanan yang sudah kurus berpesan: "Kalau diet sahaja tidak berguna, mesti bersenam."
Merak Jalanan ingatkan bolehlah ambil jalan pintas dan mudah untuk kurus. Sahabat Merak Jalanan berkata: "Mana ada jalan pintas, kalau hendak berjaya mesti ada sasaran dan keazaman yang tinggi serta disiplin."
Merak Jalanan akur kata-kata sahabat itu, lagipun dia sudah kurus. Kalau dia berjaya kurus sudah tentu Merak Jalanan juga boleh kurus macam dia.
Lagipun, Merak Jalanan pun bukan muda lagi, kalau sudah dapat penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung nanti sudah tidak berguna lagi.
Kalau ikut data Kementerian Kesihatan, penyakit tidak berjangkit atau NCD inilah yang menjadi punca ramai rakyat Malaysia mati cepat.
Kepada yang baca tulisan ini, kalau rasa kesihatan penting jangan tunggu lagi. Ambil kasut joging, jom kita mula bersenam, amal pemakanan sihat.
Bak kata pepatah sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!