Jangan pandang remeh suara belia
KELMARIN kecoh satu rakaman video memaparkan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Syahbuddin Hashim mempersoalkan tentang nasib belia dalam Delegasi Kongres Belia 2019 yang diadakan di Johor Bahru.
Dalam rakaman berdurasi 5 minit 18 saat itu, beliau memberi amaran bahawa golongan itu tidak akan diam sebaliknya terus menuntut supaya kerajaan menunaikan janji kepada golongan belia.
Kata-kata yang lantang dan tegas Mohd Syahbuddin dalam dewan tersebut mendapat tepukan dan sorakan daripada peserta yang hadir pada kongres yang dianjurkan pada Ahad lalu khusus untuk pemimpin-pemimpin belia.
Nampaknya, luahan hati dan perasaan wakil belia itu tidak boleh dipandang remeh oleh kerajaan terutama Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Walaupun ada antara isu-isu yang dibangkitkan Mohd Syahbuddin sebenarnya sudah dijelaskan dan ditangani oleh kerajaan namun bagi mereka ia masih tidak mencukupi dan KBS perlu bekerja keras demi kesejahteraan belia di Malaysia.
Bayangkan jika KBS tidak akan berusaha membantu golongan belia, dibimbangi ia diterjemahkan dalam bentuk undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Justeru, kita mengharapkan dalam Bajet 2020 yang bakal dibentangkan kerajaan pada sesi Sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada bulan depan dapat memberikan berita baik kepada golongan belia.
Antara perkara yang boleh dilakukan adalah memperkasa golongan belia dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) termasuk latihan serta dana untuk membantu mereka menjadi usahawan.
Selain itu, KBS juga boleh mewujudkan dana khas kepada persatuan-persatuan belia supaya mereka boleh mengadakan program yang dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.
Bagi persatuan belia pula, zaman untuk mendapatkan peruntukan mudah daripada kerajaan sudahpun berakhir.
Difahamkan, KBS kini mengenakan syarat supaya mereka tampil dengan program-program berimpak tinggi sebelum diberikan peruntukan.
Walaupun pada dasarnya kerajaan tidak bertanggungjawab untuk mengeluarkan dana bagi biayai operasi dan pentadbiran pertubuhan belia namun bantuan kewangan tetap diperlukan bagi mereka menjalankan aktiviti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!