Sindiket MyKad: Tubuh RCI siasat dalang
SHAH ALAM - Kerajaan didesak agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan untuk menyiasat dalang utama pemberian kewarganegaraan melalui kad pengenalan atau Mykad bagi membolehkan pengkhianat negara itu dapat ditumpaskan.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim berkata, penubuhan suruhanjaya itu sangat diperlukan pada waktu ini memandangkan sindiket tersebut merupakan tragedi kepada negara selain turut melibatkan kepentingan awam.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan media turut memberikan indikasi bahawa sindiket ini belum ditumpaskan sepenuhnya kerana masih ada ahli-ahli sindiket yang masih bebas.
“Pemberian MyKad kepada warganegara asing ini umpama bom jangka kepada penduduk tempatan. Sejak sekian lama media melaporkan warganegara asing ini telah terlibat dengan pelbagai jenayah.
"Pemerdagangan manusia, sindiket judi atas talian, sindiket jual emas palsu dalam talian, penyeludupan dadah sehinggalah kepada sindiket pelacuran di premis-premis maksiat.
“Bahkan pada tahun 2008, terdapat cubaan seorang warganegara asing di Sabah yang telah menggunakan kad pengenalan diri palsu untuk memohon menjadi anggota tentera. Keadaan ini dilihat sangat membimbangkan kerana melibatkan kedaulatan Malaysia dan mengancam keselamatan negara.
“Paling mengejutkan adalah apabila Penolong Pengarah JPN Pulau Pinang sendiri telah ditangkap atas dakwaan terlibat dengan sindiket ini. Sekiranya sindiket ini tidak terbongkar, bayangkan apa akan jadi kepada Pulau Pinang apabila individu ini dinaikkan pangkat kelak,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Amzad berkata, banyak persoalan yang memerlukan kepada siasatan yang bebas daripada pengaruh politik di samping rakyat ingin tahu apa motif utama MyKad ini diberikan secara besar-besaran.
“Berapakah jumlah sebenar MyKad yang telah dijual dan apa status pemegang MyKad secara pintu belakang ini? Adakah mereka akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik pada pilihanraya akan datang?
"Adakah ribuan MyKad yang diperoleh secara tidak sah ini hanya dikeluarkan di Pulau Pinang sahaja, bagaimana pula dengan negeri-negeri lain? Adakah lebih ramai pegawai JPN yang terlibat?
“Ini merupakan persoalan-persoalan yang rakyat ingin tahu, jadi saya mendesak agar RCI ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat siapakah dalang utama di sebalik sindiket ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!