Kemarau panjang punca gangguan bekalan air di Sri Aman

Pemandangan matahari kemerahan akibat jerebu di Jalan Sri Aman - Lingga yang dirakam pada 7 pagi ini. Kualiti udara di Sri Aman secara umumnya menunjukkan penurunan setakat 8 pagi ini daripada peringkat bahaya kepada sangat tidak sihat. -Foto Bernama
Pemandangan matahari kemerahan akibat jerebu di Jalan Sri Aman - Lingga yang dirakam pada 7 pagi ini. Kualiti udara di Sri Aman secara umumnya menunjukkan penurunan setakat 8 pagi ini daripada peringkat bahaya kepada sangat tidak sihat. -Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Gangguan bekalan air yang kini berlaku di seluruh bandar Sri Aman belum pernah berlaku sebelum ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, gangguan bekalan air itu berpunca daripada kemarau setelah cuaca panas lebih lama daripada biasa melanda negeri ini.

Katanya, cuaca sedemikian diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia akan berterusan sehingga hujung bulan ini.

"Sudah dua bulan kita di negeri ini mengalami cuaca panas, kebiasaannya setibanya bulan September cuaca mula menjadi sejuk dan Oktober akan mula turun banyak hujan.

“Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dan jabatan lain berkaitan sedang melihat situasi ini dan berusaha mencari penyelesaian jangka pendek bagi memenuhi keperluan air di Sri Aman dan penyelesaian jangka masa panjang bagi memastikan gangguan ini tidak berlaku lagi," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Dana Bantuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) 2019 Fasa Pertama bagi membina dan baik pulih rumah ibadah bukan Islam di Sarawak berjumlah RM16.35 juta di sini hari ini.

Residen Sri Aman Indit Bangai dilapor berkata, kira-kira 100,000 penduduk bandar itu terjejas akibat gangguan berkenaan, manakala menurut Jurutera Air Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Sri Aman Adzahari Baini ketika ini lapan daripada 10 loji di Sri Aman menghadapi kesurutan paras air.

Gangguan bekalan air berkenaan memburukkan lagi situasi di Sri Aman yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi pada tahap bahaya sehingga 389 setakat pukul 6 petang semalam.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kualiti udara di Sri Aman secara umumnya menunjukkan penurunan setakat jam 8 pagi tadi daripada peringkat bahaya kepada sangat tidak sihat.

Mengulas mengenai jerebu, Uggah berkata, dua titik panas dikesan di Sri Aman dan gerak kerja telah dimulakan untuk memadamnya termasuk menggerakkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari Betong dan Saratok ke lokasi kebakaran.

Mengenai pembenihan awan, katanya ia akan dilakukan sebaik mendapat nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!