Tony Fernandes umum undur diri
PENGASAS bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes akan mengundurkan diri daripada semua jawatannya kecuali dalam AirAsia Group dan AirAsia X.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan bila perkara itu akan berlaku.
Dalam satu ciapan di Twitter hari ini, Tony Fernandes berkata, keputusan itu diambil untuk menaikkan generasi pemimpin AirAsia seterusnya ke barisan hadapan.
“Sebagai langkah pertama untuk berundur dan menggerakkan generasi pemimpin AirAsia seterusnya ke barisan hadapan, saya akan mengundurkan diri daripada semua jawatan kecuali AirAsia Group dan AirAsia X,” katanya.
Bulan lepas, AirAsia mengumumkan penstrukturan semula kepimpinan untuk menyokong transformasi menjadi sebuah syarikat platform perjalanan dan kewangan serta membina airasia.com menjadi jenama gaya hidup.
Tony Fernandes sebagai CEO airasia.com - platform e-dagang perjalanan dan gaya hidup AirAsia - dengan matlamat untuk melantik seorang CEO baharu yang akan melaporkan kepadanya dalam tempoh terdekat.
Latihan penstrukturan semula termasuk Aireen Omar yang telah dilantik sebagai Presiden AirAsia Group (redBeat Ventures) dan akan mengetuai bahagian modal teroka korporat.
As the first step of stepping back and moving the next generation of @airasia leaders into the forefront I will be stepping down of all boards except @airasia group and airasia X.
— Tony Fernandes (@tonyfernandes) September 18, 2019
Setakat jam 3.52 petang hari ini, saham AirAsia turun satu sen kepada RM1.78 dengan 4.25 juta saham diniagakan, manakala AirAsia X naik setengah sen kepada 17.5 sen dengan 1.03 juta unit bertukar tangan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!