Jerebu: JAS Perak aktifkan pasukan rondaan
IPOH - Jabatan Alam Sekitar Perak mengaktifkan operasi rondaan pembakaran terbuka sejak 17 September lalu bagi membantu mengurangkan masalah jerebu di negeri ini
Pengarahnya, Norazizi Adinan berkata, pasukan rondaan melibatkan cawangan di Teluk Intan yang meliputi kawasan sekitar Manjung, Hutan Melintang dan Bagan Datuk begitu juga di Ipoh yang memantau sehingga ke kawasan Seri Iskandar serta cawangan JAS di Taiping yang membuat pemantauan sebelah utara Perak.
"Walaupun jerebu ini berpunca daripada pembakaran yang berlaku di negara jiran, kita masih perlu memantau keadaan di dalam negara supaya keadaan tidak menjadi lebih buruk.
"Jadi kita memohon seluruh rakyat negeri Perak supaya tidak melakukan pembakaran terbuka," katanya ketika sidang media mengenai status terkini kualiti udara dan jerebu di Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Dr Abdul Aziz Bari serta Exco Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee.
Menurutnya, sehingga kini tiada aktiviti pembakaran terbuka secara besar-besaran berlaku di Perak sebaliknya hanya pembakaran kejiranan.
"Kita tidak mengambil tindakan perundangan setakat ini terhadap orang awam kerana mungkin ada yang tidak tahu tentang pembakaran terbuka ketika jerebu ini. Jadi kita nasihatkan dia.
"Di peringkat ini, kita tidak pergi jauh daripada itu kerana kompaun boleh dikenakan sebanyak RM2,000. Jika sabit kesalahan di mahkamah boleh didenda sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pembakaran terbuka," katanya.
Dalam pada itu, Norazizi berkata, tiada sebarang aktiviti pembenihan awan dibuat di Perak setakat ini kerana proses tersebut memerlukan keadaan yang sesuai dan perancangan rapi selain melibatkan perbelanjaan besar iaitu RM100,000.
"Selain menghentikan sebarang pembakaran terbuka, orang ramai turut diminta supaya terus berdoa supaya hujan bagi mengurangkan keadaan jerebu di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!