Jerebu: Semua sekolah di Pulau Pinang ditutup esok
GEORGETOWN - Berikutan keadaan jerebu yang semakin teruk di Pulau Pinang, kesemua sekolah di negeri ini akan ditutup esok.
Perkara itu disahkan oleh Pemangku Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad selepas mendapati bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih berada paras sangat tidak sihat dan tidak sihat di negeri ini.
Menurutnya, kesemua 398 sekolah di seluruh negeri ini ditutup dan melibatkan seramai 239,839 pelajar.
"Penutupan melibatkan sebanyak 111 buah sekolah di daerah Timur Laut, 51 di Barat Daya, Seberang Perai Utara (93), Seberang Perai Tengah (87) dan Seberang Perai Selatan (56).
"Bagaimanapun guru-guru masih perlu hadir ke sekolah tetapi mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memakai topeng muka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Abdul Rashid berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu dan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Sementara itu, IPU di kesemua stesen di negeri itu terus mencatatkan peningkatan dengan stesen Balik Pulau dan Minden, USM merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu masing-masing 260 dan 232.
Manakala dua stesen iaitu Seberang Jaya dan Seberang Perai pula merekodkan bacaan tidak sihat iaitu 189 dan 193.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!