Patuhi garis panduan DOSH untuk lindungi pekerja

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) menyediakan garis panduan yang perlu diambil majikan untuk melindungi pekerja ketika situasi jerebu, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, DOSH telah menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil majikan berdasarkan situasi semasa jerebu atau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa di sesuatu kawasan.

"Dalam situasi semasa jerebu, kita tidak mahu Garis Panduan Bagi Perlindungan Pekerja Terhadap Kesan Daripada Jerebu Di Tempat Kerja yang telah lama ada dibiarkan tanpa diberi perhatian.

"Selain perlu disebarkan, kita juga mahu garis panduan itu diikuti jika keadaan jerebu atau bacaan IPU mencapai tahap perlu diambil tindakan sebagaimana digariskan oleh DOSH," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kebangsaan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2019 di sini hari ini.

Mahfuz berkata, garis panduan itu membantu majikan dalam membuat penafsiran risiko berdasarkan IPU semasa seterusnya memilih tindakan yang perlu diambil dalam melindungi pekerja.

"Sebagai contoh, jika IPU mencecah 400, majikan diberikan beberapa bentuk tindakan yang boleh diambil termasuk menghentikan aktiviti kerja terutamanya untuk pekerja yang bekerja di luar bangunan," katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, pengenalan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) banyak membantu dalam penurunan kes kemalangan dan kecederaan yang diakibatkan oleh aktiviti-aktiviti pekerjaan.

Menurutnya, sebelum akta itu diperkenalkan, bilangan kes kemalangan perusahaan adalah sebanyak 125,506 dan jumlah itu menurun sebanyak 55 peratus kepada 56,095 pada 2008.

Artikel Berkaitan:

Kadar kemalangan maut 7.0 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2008 juga menurun kepada 4.14 pada tahun lepas, manakala kadar kemalangan bagi setiap 1,000 pekerja juga mencatat penurunan kepada 2.40 pada 2018 berbanding 4.5 pada 2008.

"Antara penyebab kemalangan berkemungkinan oleh kekurangan dalam strategi kawalan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!