Enam titik panas di Semenanjung bukan punca jerebu

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika sesi sidang media berkenaan Program Penghutanan Semula yang sedang dipertingkatkan, di Wisma Sumber Asli hari ini. - Foto Bernama
Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika sesi sidang media berkenaan Program Penghutanan Semula yang sedang dipertingkatkan, di Wisma Sumber Asli hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Enam titik panas dikesan dalam hutan simpan di Semenanjung Malaysia namun ia bukan punca jerebu dalam negara, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) melalui cerapan imej satelit telah mengesan enam titik panas pada 17 dan 18 September iaitu tiga di Johor, dua di Pahang dan satu di Terengganu.

"Ia adalah terkawal dan tidak menjadi punca jerebu dalam negara," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Berikutan keadaan jerebu, Xavier berkata, semua Jabatan Perhutanan Negeri termasuk Sabah dan Sarawak diingatkan untuk membuat pemantauan berterusan bagi mengenal pasti titik panas dan mengawal kejadian kebakaran terutama yang diwartakan sebagai hutan simpanan kekal (HSK).

Antara tindakan pencegahan kebakaran di kawasan HSK yang dilaksanakan JPSM termasuklah menubuhkan pasukan khas dikenali sebagai Semut Merah yang terdiri daripada anggota Jabatan Perhutanan Negeri untuk memadam dan mengawal kebakaran.

'’Telaga tiub juga dibina dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains di kawasan-kawasan titik panas yang dikenal pasti, di mana jumlah keseluruhan telaga tiub yang ada pada masa ini adalah 85 buah," katanya.

Xavier dalam pada itu meminta semua kerajaan negeri menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) pewartaan keluar HSK bagi menjamin kejayaan usaha pengukuhan program penghutanan semula kawasan berhutan negara.

Imej bot penambang melintasi jambatan angkat atau `drawbridge' kurang jelas ekoran jerebu yang melanda negeri ini ketika tinjauan dari Bukit Besar hari ini. - Foto Bernama
Imej bot penambang melintasi jambatan angkat atau `drawbridge' kurang jelas ekoran jerebu yang melanda negeri ini ketika tinjauan dari Bukit Besar hari ini. - Foto Bernama

"Sokongan kuat dan pematuhan kerajaan negeri terhadap SOP yang disediakan JPSM mampu membantu kerajaan ke arah mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Xavier berkata, antara yang termaktub dalam SOP itu ialah meminta kerajaan negeri memastikan konsesi yang memegang lesen pembalakan menggantikan setiap satu pokok yang ditebang dengan dua pokok baharu yang ditanam.

"Malah SOP itu turut mencadangkan supaya pemegang konsesi pembalakan atau sebagainya membayar kepada Dana Pemuliharaan Biodiversiti yang diwujudkan kementerian bagi pelaksanaan penghutanan semula dengan mengambil kira kehilangan biodiversiti kawasan HSK tersebut," katanya.

Menurutnya, Malaysia diliputi 18.27 juta hektar kawasan berhutan atau hampir 55.3 peratus daripada keluasan tanah negara.

Daripada jumlah itu, 11.62 juta hektar atau 35 peratus telah diwartakan oleh kerajaan-kerajaan negeri sebagai HSK yang diurus secara mampan menerusi amalan pengurusan hutan secara berkekalan, katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!