Peka tak setuju tanah petani dirampas

Shariffa Sabrina
Shariffa Sabrina
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) membantah cadangan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari untuk merampas tanah petani yang melakukan pembakaran terbuka.

Presidennya, Puan Seri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, tindakan itu dianggap zalim memandangkan punca utama jerebu yang melanda kini disebabkan dari negara jiran.

“Apa yang mereka (petani) buat ini tiada impak besar dekat cuaca jerebu sekarang. Jadi kita tak boleh nak salahkan petani (negara) ini. Jerebu yang berlaku sekarang ini daripada kebakaran secara meluas di Kalimantan.

"Masalah yang perlu kita selesaikan, bukan petani-petani yang membakar untuk pertanian, isu itu sangat minimum,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.

Berbanding isu petani kecil, beliau meminta kerajaan memantau aktiviti kapitalis yang tamak dan gelojoh dengan aktiviti pembukaan, pembalakan dan pembakaran hutan secara berterusan.

"Ketiadaan penguatkuasa antara punca berleluasa aktiviti yang mengundang pencemaran masalah jerebu yang di hadapi rakyat sekarang.

"Pemimpin negara juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini malah harus dipersalahkan kerana didakwa membiarkan pembakaran itu berlaku.

“Mereka patut disalahkan kerana nak sangat menanam kelapa sawit yang kononnya mendatangkan hasil lebih pada ekonomi negara, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Isnin lalu Amirudin berkata, kerajaan negeri akan melakukan tindakan tegas dengan merampas tanah petani yang masih degil melakukan pembakaran terbuka di negeri ini yang dilihat semakin berleluasa.

Amirudin berkata, perbuatan berkenaan masih dilakukan walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan larangan pembakaran terbuka untuk aktiviti pertanian.

Katanya, sedikit sebanyak telah memburukkan lagi situasi jerebu yang melanda negara sekarang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!