Dua warga Myanmar disamun lelaki menyamar polis
BESUT - Dua warga Myanmar diugut dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah kongsi Pasir Akar di sini semalam.
Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, 18, dan rakannya, 20-an sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran dua lelaki tidak dikenali yang mana seorang menutup muka dengan kain.
Menurut sumber, tanpa berlengah, kedua-dua suspek yang memecah masuk rumah kongsi itu terus menggari kedua-dua tangan warga asing tersebut sebelum memperkenalkan diri sebagai polis dan bertindak memeras ugut mereka.
"Kedua-dua suspek merampas dua telefon pintar dan dompet milik mangsa yang mengandungi kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum meninggalkan kedua-dua rakan senegara itu dalam keadaan bergari.
"Mangsa yang diselamatkan oleh rakan senegara yang tinggal di rumah kongsi berhampiran membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Pasir Akar pada jam 2.05 petang hari sama untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan dan Seksyen 170 akta sama kerana menyamar sebagai penjawat awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!