Bekalan air terjejas di Melaka dijangka pulih
MELAKA TENGAH - Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) memulakan langkah drastik menerusi kerja-kerja menstabilkan semula air di empangan terjejas memandangkan bekalan air terawat menurun sebanyak 13.9 peratus daripada jumlah penggunaan air keseluruhan di negeri ini.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, pihaknya memberi jaminan bekalan air yang terganggu di negeri ini akan kembali pulih melalui pelan jangka pendek yang sedang dijalankan.
Menurutnya, jumlah penggunaan semasa air di Melaka sebanyak 639 juta liter sehari namun disebabkan jumlah takungan air di empangan dan taburan hujan yang rendah, jumlah itu menurun dan hanya sebanyak 550 juta liter air terawat dapat dibekalkan oleh SAMB setiap hari hingga setakat ini.
"Antara langkah yang dilaksanakan termasuk mengepam air dari Empangan Jus ke Empangan Durian Tunggal serta pengepaman air dari kolam alternatif ke Sungai Melaka.
"Proses mengepam sumber air dibuat dari bunded storage II ke bunded storage I, Tasik Air Keroh, Kolam Kesang 2, kolam tebatan banjir Durian Tunggal dan Krubong serta kolam-kolam terbiar di sepanjang Lembangan Sungai Melaka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Adly berkata, sebanyak 47 juta gelen bersamaan 220 juta liter sehari sumber air turut dipam dari Sungai Grisek, Muar Johor ke Empangan Durian Tunggal selain mendapatkan bekalan air terawat dari Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) bagi memastikan pengguna tidak terus dilanda kemelut itu.
Katanya, masalah bekalan air di negeri ini berpunca daripada jumlah takungan air di kawasan empangan dan taburan hujan yang rendah diikuti jumlah penggunaan semasa air sehari melebihi kemampuan bekalan air semasa.
"Saya berharap semua pihak dapat bersama-sama berjimat cermat dan menggunakan air secara berhemah. Segala kerjasama pengguna amatlah dihargai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!