Kuarters tentera terbakar

A
A
A

TAPAH – [DIKEMASKINI] Seorang wanita sempat menyelamatkan diri selepas kediamannya di tingkat empat, Kuarters Tentera Darat Kem Batalion ke 4 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Jalan Pahang di sini, hari ini, terbakar.

Dalam kejadian jam 8.50 pagi itu, wanita berusia lingkungan 20-an yang juga isteri kepada anggota tentera sempat melarikan diri sebaik menyedari api marak bermula dari bahagian dapur rumah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah, Pegawai Bomba Tinggi Ahmad Hisham Abdul Rahman berkata, rumah berkenaan dihuni sepasang suami isteri, namun ketika kejadian suami yang juga anggota tentera sedang bertugas.

“Bomba menerima panggilan pada jam 8.54 pagi dan sebaik tiba didapati kebakaran berlaku hampir 70 peratus. Tiada sebarang kecederaan, namun semua peralatan dalam rumah musnah.

"Seramai 12 anggota dan pegawai yang terlibat dalam operasi berjaya mengawal api pada jam 9.33 pagi daripada merebak ke unit lain. Terdapat empat rumah di tingkat berkenaan, namun ketika kejadian semua tidak berpenghuni,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, operasi ditamatkan pada jam 11.36 pagi dan jumlah kerugian serta punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!