Bangga mi bandung dapat 'pengiktirafan' istana

Nur Madihah bersama keluarga turut merakam gambar bersama baginda di kedai milik keluarganya di sini.
Nur Madihah bersama keluarga turut merakam gambar bersama baginda di kedai milik keluarganya di sini.
A
A
A

KUANTAN - Kesudian Yang di-Pertuan Agong, Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan mencemar duli menikmati hidangan mi bandung memberi pengiktirafan bermakna terhadap resipi turun temurun kepada pemilik kedai Wan Mastura di Kampung Kuala Kenau di sini.

Adik kepada pemilik kedai itu, Nur Madihah Ahmad Rosdi, 23, terkejut menerima kunjungan daripada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang menyatakan hasratnya untuk menikmati juadah itu di kedai.

Menurutnya, ini kali pertama kerabat diraja itu mencemar duli ke kedai makan milik keluarga setelah beroperasi lebih 20 tahun.

"Kami semua tidak sangka langsung baginda berdua singgah ke kedai kami. Kami semua rasa gemuruh dan terketar-ketar tangan mahu sediakan bahan-bahan mi bandung.

"Tapi kami rasa bertuah dan terharu sebab mi bandung hasil ciptaan turun temurun dari keluarga mendapat pengiktirafan dari istana," katanya ketika ditemui Sinar Harian di kedai Wan Mastura di Kampung Kuala Kenau, Sungai Lembing semalam.

Nur Madihah menunjukkan mi bandung yang menjadi santapan Agong dan Raja Permaisuri pada Sabtu lalu.
Nur Madihah menunjukkan mi bandung yang menjadi santapan Agong dan Raja Permaisuri pada Sabtu lalu.

Pada Sabtu lalu, satu video yang tular di media sosial Facebook dalam keadaan renyai-renyai kenderaan yang dinaiki kedua kerabat diraja itu berhenti di hadapan gerainya sebelum baginda bertanyakan tentang mi bandung melalui tingkap.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, kelmarin Tunku Azizah menerusi akaun Instagram @tunkuazizah di ruang komen salah sebuah Instagram sebuah portal mengatakan mi bandung terbabit paling sedap sekali di dunia.

Nur Madihah berkata, dia tidak menyangka pujian sedemikian diberikan hasil air tangan milik keluarganya.

"Kami tidak jangka langsung mi bandung ini diterima oleh pihak istana dan kami semua bangga bila dapat pengiktirafan sebegini," katanya.

Ditanya mengenai resipi mi bandung yang diminta Raja Permaisuri Agong itu, Nur Madihah berkata, resipi itu belum disampaikan kepada Tunku Azizah kerana tidak mempunyai nombor telefon Tuanku.

"Kami tidak pasti bagaimanapun mahu menyampaikan resipi ini dan tidak kisah resipi mi bandung dikongsi dengan Tuanku," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai terbabit, Mohammad Hasbullah Ahmad Rosdi, 31, berkata, dia menyedari konvoi diraja akan melalui di hadapan kedainya selepas selesai menziarahi rakyat di pekan Sungai Lembing.

Mohammad Hasbullah menunjukan tempat kenderaan kerabat di raja itu berhenti.
Mohammad Hasbullah menunjukan tempat kenderaan kerabat di raja itu berhenti.

Menurutnya, pada awalnya dia bersama adik-beradik lain hanya memberi melambai kepada pasangan diraja itu tetapi ia berlaku sebaliknya.

"Tidak sangka tiba-tiba Tunku tanya nak mi bandung. Jadi saya tanya nak bungkus atau makan, baginda kata hendak makan di sini.

"Jadi saya dalam kelam kabut menyiapkan meja untuk Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah tanpa membuat persiapan yang rapi kerana tidak menyangka baginda akan mencemari duli masuk kedai kami.

Mohammad Hasbullah bekata, dua putera baginda iaitu Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda, Tengku Ahmad Ismail Muadzam Shah turut menikmati mi bandung di kedai itu.

"Sebelum itu Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail dan beberapa pemimpin negeri sudah menjamu selera di gerai itu," katanya.

Nur Madihah melayan pelanggan yang mengunjungi gerai abangnya.
Nur Madihah melayan pelanggan yang mengunjungi gerai abangnya.

Menurutnya, kedai makannya terpaksa ditutup lebih awal pada Ahad selepas video itu tular selain itu, ramai yang datang ke kedainya mahu makan mi bandung dek penangan santapan Agong dan Raja Permaisuri.

"Kami bersyukur dan berterima kasih yang tidak terhingga," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!