Puisi penghuni pusat jagaan warga emas usik perasaan
JOHOR BAHRU - Seorang penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Kempas mengusik perasaan pelawat dengan puisi yang dideklamasi ketika program amal Simpulan Kasih Hospital Pakar KPJ Puteri semalam.
Zaharah Mohammad, 78, yang menghuni rumah jagaan itu sejak kematian suaminya pada 2011 tidak dapat menahan sebak saat menyampaikan isi hatinya melalui bait-bait puisi yang dinukilkan pada Mei 2014.
Suasana riuh rumah itu tiba-tiba sunyi saat mendengar bait puisi yang dilontarkan wanita berasal dari Skudai, Johor.
"Terkenangkan nasib keseorangan, yang pada zahirnya insan lain tidak tahu. Kehadiranku di Nur Ehsan ibarat sebutir mutiara menyinar, hidupku kembali terasa dihargai dan masih ada yang sayang.
"Dulu aku terasa sunyi, ditinggalkan suami yang menyahut panggilan Ilahi. Tiada lagi gelak ketawa...tiada lagi gurau senda. Yang hanya tinggal kenangan. Saat itu telah berlalu, takkan kembali.
"Aku tidak mempunyai cahaya mata untuk teman hidupku. Ya ALLAH sungguh besar dugaan-Mu namun aku pasrah. Selagi nafasku tiada berhenti, aku pasti bangun meneruskan hidup ini," demikian petikan sajak yang dideklamasi dengan suara yang tersekat-sekat menahan sebak.
Zaharah yang hidup sebatang kara dan tidak mempunyai keluarga terdekat menetap sendirian di Taman Universiti, Skudai selepas kematian suaminya namun akhirnya berjaya dipujuk rakan-rakan dan jiran tetangganya untuk tinggal di pusat jagaan tersebut atas faktor usia dan kesihatan.
Akuinya, pada usia yang semakin lanjut, kesihatannya sering terganggu dan dia bersyukur disarankan untuk tinggal di rumah jagaan tersebut.
Kini wanita itu tinggal bersama 79 lagi rakan seusianya yang turut menghuni rumah tersebut menjalani sisa-sia hidup di penghujung usia.
Kegembiraan mereka jelas terpancar di wajah saat menerima kehadiran rombongan Hospital Pakar KPJ Puteri yang dipimpin Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haliza Khalid.
Menerusi program itu, penghuni di pusat jagaan tersebut diberikan sumbangan bekalan susu tepung, cadar dan bekalan makanan kering.
Malah rumah itu turut menerima lima buah kerusi roda, 10 katil pesakit dan hiasan lukisan mural di dinding rumah tersebut.
Selain mengadakan pemeriksaan kesihatan, ujian kolesterol dan glukos penghuni turut dihiburkan dengan aktiviti senaman, karaoke serta sesi kebersihan kuku.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!