IPU menurun namun masih tidak sihat
SHAH ALAM - Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada jam 8 pagi tadi menunjukkan, enam lokasi diletakkan pada skala sangat tidak sihat manakala 40 kawasan lain di tahap tidak sihat.
Laman web rasmi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar mencatatkan IPU Balik Pulau Pulau Pinang kekal pada tahap sangat tidak sihat (215).
Sementara lima lokasi lain di Sarawak menunjukkan peningkatan iaitu di Sibu (237), Samarahan (230), Sarikei (227), Kuching (272) dan Sri Aman (206).
Lain-lain kawasan juga menunjukkan peningkatan termasuk Kuala Terengganu naik (114) dan Tangkak Johor (132).
Selain daripada kawasan yang dinyatakan, IPU di tempat lain seperti Nilai, Negeri Sembilan (164), Shah Alam (153), Klang (141) dan Batu Muda Kuala Lumpur (149) menurun sedikit namun masih berada pada skala bacaan tidak sihat.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Semalam, menerusi kenyataan Kementerian Pendidikan, sebanyak 1,484 sekolah membabitkan lebih sejuta murid di tujuh negeri ditutup.
Penutupan itu membabitkan 584,595 pelajar di 538 sekolah di Selangor dan138,384 pelajar dari 337 sekolah di Sarawak.
Selebihnya, 303 sekolah melibatkan 85,967 murid di Perak dan 90,233 pelajar dari 162 sekolah di Pulau Pinang turut ditutup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!