Jerebu dan nilai kemanusiaan
MALAYSIA dilanda jerebu lagi. Sudah seperti acara tahunan pula kerana setiap tahun, pada lingkungan bulan September dan Oktober orang ramai bergegas mencari topeng muka.
Klinik pula dipenuhi pesakit yang mengalami sesak nafas, asma dan masalah paru-paru.
Nampaknya Malaysia kini mempunyai empat musim iaitu musim tengkujuh, musim panas, musim durian dan musim jerebu.
Sejak semalam, grup WhatsApp media Kementerian Pendidikan (KPM) tidak putus-putus menghantar laporan terkini mengenai jumlah sekolah yang ditutup.
Kata seorang guru yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Lemanak, Lubok Antu, Sarawak, walaupun sekolah itu terletak di tengah hutan belantara, dikelilingi pokok hutan dan balak tetapi dengan catatan IPU 400 lebih, semua pemandangan indah kampung itu bagaikan lenyap ditelan asap.
Cikgu Ahmad Faqih Pauzi yang tujuh tahun mengajar di sekolah itu berkata, semalam adalah paling buruk pernah dirasai berbanding jerebu tahun-tahun sebelumnya.
Mendengar suaranya yang mula serak di hujung talian ketika dihubungi, dia amat berharap bencana itu dapat diatasi segera dan tidak ada apa-apa yang buruk berlaku kepada anak muridnya.
Begitulah jiwa seorang pendidik. Tatkala ditimpa bencana, nasib anak murid masih menjadi topik nombor satu dalam kotak fikirannya.
Bertabahlah semua kerana kita kini sedang dilanda bencana dan marilah kita doakan semoga semua usaha yang dilakukan pihak kerajaan dan kita semua berhasil.
Semoga pembenihan awan dapat dilakukan dan asap kotor ini dapat dinyahkan secepat mungkin.
Semoga bencana yang terhasil daripada tangan kita sendiri ini dapat dijadikan iktibar supaya tahun hadapan kita tidak perlu lagi berdepan masalah sulitnya untuk bernafas, masalah udara beracun dan masalah sistem pernafasan yang boleh memberi mudarat dalam jangka panjang.
Sama-sama kita mengamalkan pembangunan mapan. Jangan sampai anak cucu menyalahkan kita kerana mewariskan alam yang sudah rosak kepada mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!