Lebih 22 jam bomba padam kebakaran tanah gambut
TAIPING- Jabatan Bomba dan Penyelamat daerah ini terpaksa mengambil masa lebih 22 jam bagi menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran kawasan tanah gambut di Kampung Matang Merbau, dekat Matang, sejak tengah hari semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping Rafeel Hairul Ricard berkata pihaknya juga terpaksa mendapatkan bekalan air sejauh dua hingga tiga kilometer bagi memadamkan kebakaran kawasan itu.
“Bekalan air itu terpaksa dibawa masuk menggunakan kenderaan untuk ke tempat kejadian.
"Kita masih memadam kebakaran di kawasan tanah gambut sehingga awal pagi ini kerana kekurangan air di tempat kejadian,"katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dan Pantai Remis dengan kekuatan 25 anggota sedang memadamkan kebakaran setelah menerima panggilan pada 12 tengah hari semalam.
Katanya kebakaran itu membabitkan kawasan tanah gambut seluas kira-kira 0.5 hektar dan punca kebakaran masih dalam siasatan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!