Penerbangan di LTAPP beroperasi seperti biasa

Keadaan jerebu di sekitar Balik Pulau dilaporkan semakin pulih berbanding semalam namun masih berada di tahap tidak sihat.
Keadaan jerebu di sekitar Balik Pulau dilaporkan semakin pulih berbanding semalam namun masih berada di tahap tidak sihat.
A
A
A

GEORGETOWN - Semua operasi penerbangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) hari ini berjalan seperti biasa.

Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim berkata, tiada penerbangan dilaporkan terjejas akibat jerebu setakat ini.

Menurutnya, mengikut bacaan dari Jabatan Meteorologi, jarak penglihatan semakin baik berbanding semalam iaitu kira-kira 4,000 meter.

"Hari ini, operasi penerbangan berjalan seperti biasa dan tiada penerbangan yang dilaporkan berpatah balik, dilencongkan atau ditangguhkan.

"Setakat ini, jarak penglihatan semakin baik berbanding semalam sehingga menyebabkan ada beberapa penerbangan perlu ditangguhkan dan berpatah balik. Bagaimanapun, kita akan mengemaskini perkembangan dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, dua penerbangan masuk ke LTAPP berpatah balik berikutan jarak penglihatan terhad akibat jerebu yang semakin teruk di negeri ini.

Kedua-dua penerbangan itu masing-masingnya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu (LTAK) di Medan, Indonesia.

Satu lagi penerbangan dari Singapura ke Pulau Pinang terpaksa dilencongkan ke LTAK sementara penerbangan dari Bangkok ke LTAPP terpaksa ditangguhkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sehingga jam 11 pagi ini, kesemua stesen bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di negeri ini menunjukkan penurunan walaupun masih berada di tahap tidak sihat.

Berdasarkan laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), keempat-empat stesen iaitu Seberang Jaya; Seberang Perai, Minden dan Balik Pulau menunjukkan bacaan pada tahap tidak sihat iaitu di bawah 200.

Stesen Balik Pulau yang sebelum ini mencatatkan bacaan paling tinggi iaitu 204 pada jam 10 pagi tadi kini turun kepada 197.

Sementara itu, stesen Seberang Jaya mencatat bacaan 138, Seberang Perai 125 dan Minden 166.

Bacaan IPU 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, antara 51 dan 100 (sederhana), antara 101 dan 200 (tidak sihat), antara 201 dan 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Susulan daripada keadaan jerebu teruk semalam, kesemua 398 buah sekolah di negeri diarah tutup berikutan kemungkinan keadaan berjerebu malam tadi sehingga hari ini semakin buruk.

Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, arahan penutupan itu melibatkan sebanyak 111 buah sekolah di daerah Timur Laut; Barat Daya (51); Seberang Perai Utara (93); Seberang Perai Tengah (87) dan Seberang Perai Selatan (56).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!