Pemandu, kelindan lori nyaris maut
JOHOR BAHRU - Pemandu lori bersama kelindannya nyaris maut selepas lori dipandunya terbakar dalam satu kejadian di Kilometer 134 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara malam tadi.
Lori yang membawa muatan alat ganti motosikal itu terbakar 40 peratus dan dikatakan api bermula pada bahagian belakang lori.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Ibnul Kasim Ahmad Abd Hamid berkata, lelaki berusia 45 tahun itu dilaporkan cedera di kedua tapak tangannya ketika cuba memadamkan kebakaran tersebut dan dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan.
"Kami terima panggilan jam 7.25 malam dan setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng di tempat kejadian, berlaku kebakaran melibatkan sebuah lori 3 tan membawa muatan alat ganti motosikal yang telah musnah 40 peratus.
"Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori telah melecur di kedua tapak tangan ketika cuba memadamkan api.
"Mangsa diserahkan kepada ambulans dan di hantar ke Hospital Batu Pahat untuk tindakan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara seorang wanita berusia 31 tahun yang merupakan kelindannya disahkan selamat.
Operasi melibatkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng serta sebuah jentera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!