Pesawat kargo Indonesia masih gagal ditemui
TIMIKA - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Twin Otter DHC6-400 Indonesia yang hilang semalam masih gagal ditemui setakat 10.30 pagi tadi (waktu tempatan), kata pihak berkuasa.
Pencarian dilakukan sebanyak dua kali di kawasan tumpuan iaitu 30 batu nautika atau kira-kira 55.56 kilometer (KM) dari Mimika.
Bagaimanapun, ketua operasi SAR Timika, Monce Brury berkata, terdapat dua lokasi carian yang dikenal pasti, tetapi tiada pesawat ditemui namun operasi carian diteruskan ke Ilaga.
"Dengan keadaan cuaca cerah dan sedikit mendung, semoga pencarian hari ini berhasil," katanya.
Monce berkata, terdapat tiga pesawat yang terlibat dalam operasi pencarian, iaitu satu dari syarikat penerbangan dan dua pesawat dari pasukan tentera udara.
Semalam, pesawat jenis kargo itu dilaporkan terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.
Pesawat Twin Otter DHC6-400 berlepas dari bandar Timika pada jam 10:39 pagi (waktu tempatan) menghala ke Ilaga, sebuah kawasan pergunungan di wilayah timur terpencil Papua dan dijangka tiba 50 minit selepas berlepas.
Namun, selepas lebih dua jam, tiada sebarang maklumat dari lapangan terbang berhampiran berhubung lokasi pesawat sehingga pesawat itu diumumkan terputus hubungan. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN Pesawat kargo hilang di timur Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!