211,500 liter diesel dirampas

Lori tangki yang digunakan membawa diesel yang dipercayai diseleweng di pelantar ikan Ah Moi, Kuala Kedah, dekat sini.Foto: Ihsan PPM
Lori tangki yang digunakan membawa diesel yang dipercayai diseleweng di pelantar ikan Ah Moi, Kuala Kedah, dekat sini.Foto: Ihsan PPM
A
A
A

KUALA KEDAH - Sebanyak 211,500 liter diesel dipercayai diseleweng dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Langkawi dalam serbuan di pelantar ikan Ah Moi, Kuala Kedah di sini, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail, berkata, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki dan mesin meter aliran cecair serta enam tangki 'skid' dengan nilai keseluruhan berjumlah RM726,380.

Menurutnya, serbuan yang dilakukan pada jam 1.15 tengah hari itu membabitkan lapan anggota yang membuat pemantauan ke atas sebuah lori tangki yang sedang diisi dengan bahan bakar jenis diesel dari tangki ‘skid'.

"Sepanjang tempoh pengisian minyak tersebut yang mengambil masa kira-kira 15 minit, pasukan serbuan telah melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati hanya satu petak di bahagian tengah tangki bertulis 2,900 liter pada tangki lori tersebut diisi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rosman berkata, pengakuan lisan pemandu lori tersebut mendapati sebanyak 11,500 liter diesel diisi ke dalam lori tangki namun baki sebanyak 200,000 liter bahan api sama masih lagi berada dalam tangki 'skid'.

Jelasnya, pemeriksaan awal juga mendapati mesin penentu ukur meter aliran cecair juga telah tamat tempoh sah.

"Sebelum itu, makluman serbuan pemeriksaan awal telah dimaklumkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah.

Artikel Berkaitan:

"Setibanya mereka tiba di lokasi serbuan, pemeriksaan lanjut telah dilakukan secara terperinci bersama-sama," katanya.

Tambah Rosman, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!