13 pendaki sesat ditemukan selamat
TANGKAK- 13 individu berdepan detik cemas apabila sesat ketika mendaki Bukit Belading, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 5 petang, semua individu berusia 40 hingga 69 tahun berkenaan mendaki secara berkumpulan sebelum kesemuanya dilaporkan hilang dari trek pendakian.
Ketua Balai Bomba Tangkak, Penolong Penguasa Bomba Bakarya Mohd Salleh berkata, kesemua mangsa iaitu tujuh wanita dan enam lelaki itu berjaya ditemui selepas lebih tujuh jam terperangkap di pertengahan bukit.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 5.57 petang, beliau bersama 14 anggota bomba dan polis bergegas ke tempat kejadian dan membawa turun 13 mangsa yang berjaya ditemui kira-kira jam 9.30 malam.
“Kesemua mereka yang juga warga Muar gagal mencari jalan keluar sebelum bertindak menghubungi talian kecemasan MERS 999.
“Mereka memulakan pendakian seawal jam 8 pagi, namun cuba menggunakan alternatif sendiri dan gerak hati untuk mencari jalan keluar selepas sebaik menyedari tersasar dari laluan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi.
Bakarya berkata, berdasarkan keterangan semua mangsa, mereka mengakui mendaki Bukit Belading itu sebagai aktiviti riadah hujung minggu ekoran kumpulan ini sering kali mengadakan pendakian di Bukit Mor, Parit Jawa, Muar.
“13 individu ini memang dah biasa mendaki pelbagai bukit bukau secara bersama. Mereka bukan daripada sebuah organisasi, namun hanya rakan aktiviti.
"Bagaimanapun, mangsa mengakui Bukit Belading adalah lokasi baharu kecuali salah seorang daripada mereka iaitu warga emas yang berusia 69 tahun mendakwa pernah daki Bukit Belading ini 10 tahun lepas.
Menurutnya, kesemua mangsa berjaya dibawa turun dan operasi tamat pada jam 1.26 pagi tadi. Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mangsa stabil dan tidak mengalami kecederaan parah, hanya calar di beberapa tubuh,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!