Operasi padam kebakaran di Sri Aman dibantu dron
KUCHING - Operasi memadam kebakaran tanah gambut di tiga lokasi di Sri Aman dibantu dron yang membuat pemetaan kawasan sebelum operasi sepenuhnya dijalankan dengan penyertaan aset udara Sabtu ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, pemetaan kawasan ini penting untuk tujuan merancang dan menyusun strategi pemadaman.
“Ini amalan biasa kita dalam operasi, kita kerahkan dua dron semalam, kalau tak ada jerebu sebenarnya lagi bagus kita terbangkan helikopter,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Kenyalang Mapping Technology Ground Research and Rescue di sini, hari ini.
Khirudin berkata, operasi berkenaan yang sedang digerakkan melalui jalan darat dan baru meliputi 30 peratus daripada keseluruhan 161 hektar kawasan kebakaran hanya akan dapat dibantu pesawat Bombardier CL-415 Sabtu ini berikutan ia sedang diselenggara.
“Kita dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana bahawa asap jerebu tebal dan begitu juga mengenai keupayaan Bombardier yang ia perlu diselenggara, sebab sudah habis tempoh penggunaannya, maka hari ini dan esok pesawat ini akan diselenggara,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jerebu: Bomba Sri Aman hadapi cabaran kurang air
Buat masa ini, katanya sementara penyelenggaraan dijalankan, pihaknya akan mencari sumber air untuk digunakan pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu dalam operasinya, kelak.
“Semalam kita buat pemantauan di Sungai Batang Lupar, tetapi air surut dan mengambil masa untuk menunggu air pasang, jadi kita ambil keputusan untuk mengambil air dari Sungai Lingga.
“Justeru, kawasan Sungai Lingga perlu dikosongkan daripada sebarang aktiviti nelayan dengan bantuan pihak polis marin di samping membuat pemetaan di Sungai Lingga bagi memudahkan proses ‘water scooping’,” katanya.
Setakat 12 tengah hari tadi, Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman masih pada paras tidak sihat dengan bacaan 212 manakala bacaan di Kuching makin meningkat kepada 272. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!