PKNP FC buru tiga mata tanpa Giancarlo
PKNP FC memburu tiga mata berharga pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B Piala Malaysia apabila melayan kunjungan PJ City FC di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), esok.
Ketua jurulatihnya Abu Bakar Fadzim berkata, biarpun masih belum menerima sebarang perkhabaran berhubung permohonan untuk membenarkan pemain pinjaman Giancarlo Lopez beraksi berdepan pasukan lamanya itu.
Justeru menurutnya, kesebelasan skuad The Juggernauts itu tidak memiliki pilihan selain perlu menewaskan skuad The Phoenix itu bagi merebut salah satu slot ke suku akhir musim ini.
"Kita rasa akan beraksi tanpa Giancarlo setelah masih tidak menerima jawapan permohonan kita tempohari. Pastinya kita akan terasa kehilangan khidmatnya kali ini.
"Oleh itu, kita akan buat sedikit rombakan khususnya di bahagian jentera serangan. Misi kita kena menang untuk ke suku akhir. Itu jaminannya.
"Dari segi pasukan, motivasi agak tinggi dan kesempatan beraksi sehingga ke penghujung saingan peringkat kumpulan dilihat cukup bermakna," katanya kepada Sukan Sinar.
Untuk rekod, PKNP FC kini berada pada kedudukan ketiga dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, seri sekali dan tewas dua kali daripada enam perlawanan.
Sementara itu Abu Bakar gembira dengan kepulangan import Filipina, Amani Aguinaldo yang baru selesai tugasan bersama skuad kebangsaan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar.
Bagaimanapun katanya, pihaknya mahu menilai dahulu tahap kecergasan Aguinaldo selain tahap kecederaan yang dialami.
"Kita nak tengok dulu sejauh mana kecergasannya kerana baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan Filipina. Kita juga harap pemain yang diturunkan kelak dapat memberikan aksi terbaik dan seterusnya merealisasikan kejayaan yang kita inginkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!