Luluh hati anak pergi sekelip mata
DUNGUN - "Tak dapat digambarkan betapa hancur dan luluhnya perasaan ni bila semua anak pergi sekelip kata," itu kata Zawawi Abd Wahab, 42, bapa kepada tiga kanak-kanak malang yang lemas di pantai Sura, petang semalam.
Biarpun sedih, namun dia bersyukur kerana jasad kesemua anaknya, Nurain Fatma,10, Nurain Sofia,8, dan Nurain Salsabila, 6, ditemui.
Mengakui dia dan isteri tidak dapat bersama bercuti ke Dungun bersama anak-anak kerana keletihan selepas menguruskan kerja serta keperluan persekolahan anak-anak.
"Kali terakhir saya lihat wajah mereka lepas hantar mereka mengambil buku teks di Sekolah Kebangsaan Perol, Peringat, pagi semalam.
"Semua kelengkapan sekolah mereka pun dah siap, tunggu nak ke sekolah, je,” katanya ketika ditemui.
Zawawi yang kelihatan tenang, namun tidak dapat menyembunyikan perasaan sebaknya saat bercerita mengenai anak-anaknya itu.
“Tak sangka, percutian kami ke Hatyai, Thailand, Sabtu lalu adalah kali terakhir bersama mereka.
"Balik dari Hatyai, ibu saudara mereka pula bawa bercuti bersama ahli keluarga lain ke Dungun,” ungkapnya.
Tidak menyangka, panggilan yang diterima pada jam 7 petang semalam itu adalah berita sedih yang merentap bahagia mereka sekeluarga.
“Dari Rantau Panjang, saya dan isteri bergegas ke Dungun.
“Bila diberitahu kesemua lemas, apa lagi yang mampu kami buat, hanya redha dengan segala ketentuanNya,” ceritanya.
Dalam pada itu, isteri Zawawi, Nur Syahida Abdullah, 36, dikhabarkan beberapa kali pengsan kerana sukar menerima berita itu.
Ibu mana yang tidak terkejut dengan kehilangan anak-anak dalam sekelip mata, ditambah melihat jasad kesemua anak di depan mata, tanpa suara, tanpa bicara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!