Juara dunia yang memalukan kepada Malaysia
JUARA dunia. Itulah anugerah tertinggi yang diberikan dalam peringkat dunia. Adalah menjadi mimpi setiap orang untuk digelar sebagai juara dunia.
Contohnya, bagi pemain badminton negara, Lee Chong Wei. Daripada mula mewakili negara, cita-citanya hanya satu iaitu menjadi juara dunia.
Malangnya selama lebih 10 tahun berusaha, impian Chong Wei untuk meraih juara dunia tetap tidak kesampaian. Begitulah nasib badan.
Namun kelmarin tidak semena-mena kita menang satu anugerah sehingga digelar juara dunia-juara dalam senarai negara dengan pencemaran udara tertinggi di dunia!
Berdasarkan cerapan indeks pencemaran udara (IPU) oleh World Air Quality Index (WAQI) pagi kelmarin, Malaysia mencatat bacaan IPU 266.
Ia merupakan bacaan tertinggi di dunia diikuti Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178).
Itulah juara dunia yang memalukan. Semua negara tidak ingin terimanya. Tetapi diberikan kepada Malaysia walaupun ia berpunca daripada negara jiran.
Langit di negara kita telah menjadi kelam dan kotor. Jerebu yang menerawang dan menjejaskan pernafasan manusia sesungguhnya tidak diingini oleh semua orang.
Jerebu yang kembali menghantui Malaysia bagaikan bermusim seperti buah durian. Setiap kali berlaku, setiap kali itulah kita akan dengar pelbagai tindakan akan diambil tapi lihatlah apa yang berlaku pada hari ini.
Kemungkinan tahun hadapan, pekerja-pekerja syarikat perladangan terbabit akan membakar hutan lagi.
Dan sekali lagi Malaysia akan menjadi juara dunia buat dua tahun berturut-turut - Negara Paling Tercemar Di Dunia. Itulah anugerah yang kita menangi akibat perbuatan orang lain!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!