'Rumah diroboh, kami terpaksa tinggal dalam khemah'
SUNGAI BULOH - Penduduk berhampiran Sungai Kedondong, Paya Jaras kecewa tindakan Kerajaan Negeri Selangor kerana tetap meneruskan perobohan kediaman mereka Rabu lalu.
Mereka mendakwa masih belum mendapat rumah lain untuk disewa dan ada yang terpaksa membina khemah di kawasan berdekatan.
Pesakit kanser payu dara tahap tiga Sanipah Sadli, 59, berkata, kerajaan negeri perlu mengambil peduli mengenai nasib penduduk yang belum menemui kediaman baharu.
"Mana perikemanusiaan kerajaan negeri sebelum robohkan rumah kami. Tindakan ini zalim kerana tidak memikirkan nasib penduduk yang masih belum mendapat tempat berteduh.
"Sekurang-kurangnya, tunggulah kami mendapat rumah sewa baharu dulu. Tapi mereka tidak mengendahkan nasib kami dan tetap melakukan perobohan itu," katanya.
Warga emas itu juga memaklumkan keadaan kesihatannya juga merosot selepas rumahnya dirobohkan dan terpaksa menetap di bawah khemah terbuka yang didirikan penduduk.
Menurut Sanipah, dia tidak boleh mendapat rehat yang cukup dan turut terdedah kepada keadaan cuaca jerebu.
"Selepas roboh, saya dah tak ada tempat nak pergi dan perlu rehat di bawah khemah ini sahaja," katanya.
Seorang lagi penduduk, Azizah Mohd Ali, 56, mengakui sedih dengan tindakan kerajaan negeri dan mendakwa tidak menggunakan budi bicara sebelum melakukan perobohan tersebut.
Azizah berkata, situasi itu memberi kesan kepada anaknya yang juga seorang pesakit orang kurang upaya selain keadaan kesihatannya yang mengalami sakit strok sejak enam tahun.
Sementara itu, Salasih Samidi, 50, memberitahu, dia masih belum mencari lokasi rumah sewa baharu selepas kediamannya dirobohkan.
Salasih mendakwa, dia tidak berpindah keluar sebelum ini berikutan masih menunggu keputusan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berhubung perobohan itu.
"Ramai penduduk tidak keluar kerana kami menunggu kata putus daripada ADUN namun sehingga kini tiada jawapan,"katanya.
Rabu lalu, Kerajaan Selangor merobohkan beberapa rumah kediaman penduduk berhampiran Sungai Kedondong bagi memberi laluan kepada projek tebatan banjir di kawasan ini
ARTIKEL BERKAITAN: Roboh rumah: Penindasan kepada rakyat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!