Tindakan tegas agungkan kumpulan pengganas: KPN
KUALA LUMPUR - Polis menegaskan akan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam perbuatan mengagungkan kumpulan pengganas di negara ini.
Baru-baru ini tular di media sosial rakaman video membabitkan seorang pemimpin negeri ini yang menghadiri satu program membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di ibu negara selain beberapa keping gambar menunjukkan beberapa individu berarak dengan bendera pertubuhan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, video yang tular di media sosial itu sudah lama berlaku.
"Perkara ini sudah diangkat kepada pihak atasan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan keputusannya akan dibuat dalam sedikit masa lagi kerana sekiranya benar mereka mengagungkan pertubuhan pengganas luar negara ia amat tidak kena dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini.
"Saya juga akan ambil tindakan sewajarnya dan banyak lagi kes bukan sekadar kes ini sahaja di mana tiada lagi amaran diberikan," katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Konsultasi dan Lawatan Menteri Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang ke Balai Polis, Lokap dan Kuarters PDRM Bagi Zon Tengah di Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri, Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dan Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff.
Tambah Abdul Hamid, beliau turut mengingatkan tiada lagi amaran membabitkan kes-kes sebegini dan tindakan akan diambil kepada sesiapa sahaja yang menimbulkan isu menghasut, perkauman, keagamaan dan mencemarkan instisusi raja.
Katanya, pihaknya akan bertindak adil dalam isu ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!