Peneroka Felda meninggal selepas laung azan
SHAH ALAM - Seorang peneroka Felda Teloi Timur di Kuala Ketil, Kedah meninggal dunia selepas selesai melaungkan azan Isyak di Masjid An-Nur semalam.
Berdasarkan kenyataan Masjid An-Nur di laman Facebook, Ahmad Saad atau dikenali Mat CB rebah dan meninggal dunia selepas melaungkan azan.
“Malam ini berlaku kematian di Masjid An-Nur Felda Teloi Timur. Beliau ialah bilal sukarela di masjid ini. Beliau jatuh rebah dan meninggal selepas melaungkan azan Isyak yang terakhir pada malam ini.
“Beliau seorang yang aktif di masjid dan selalu melaungkan azan secara sukarela,” kata kenyataan itu hari ini.
Pemergian Mat CB turut dirasai oleh semua warga Felda Teloi Timur.
“Hilang lagi sebutir permata. Meninggal malam Jumaat,” kata kenyataan itu yang tular di media sosial sejak malam tadi.
Sementara itu, pengguna Facebook menyifatkan pemergian Mat CB sebagai kematian yang dicemburui.
“Pengakhiran yang sangat dicemburui. Dipanggil ALLAH ketika selesai melaungkan azan di malam yang penuh barakah dan di dalam masjid yang penuh berkat.
"Semoga roh arwah ditempatkan bersama-sama para solihin. Al-Fatihah dan takziah buat keluarga,” tulis Suhana Abd Majit.
Syed Azry Mohammad pula menulis: “Alhamdulillah pengakhiran yang baik. Semoga kita semua juga di akhir hayat seperti beliau. Al-Fatihah”.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!