Serangan di Arab Saudi: AS mahu penyelesaian damai
DUBAI - Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mahu penyelesaian damai berhubung krisis yang tercetus susulan serangan terhadap kemudahan minyak milik syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Aramco di Abqaiq dan Khurais Sabtu lalu.
Hal tersebut dinyatakan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo semalam selepas Iran menyuarakan amaran 'perang habis-habisan' sekiranya AS atau Arab Saudi melakukan serangan balas.
Pompeo menuduh Iran menjadi dalang di sebalik serangan di dua fasiliti minyak Arab Saudi itu yang menjejaskan lebih separuh pengeluaran minyak negara berkenaan.
Selepas mesyuarat bersama sekutu di Riyadh dan Abu Dhabi, Pompeo berkata, terdapat persetujuan bahawa Iran melakukan serangan meskipun dinafikan Teheran dan pemberontak Yemen mengaku bertanggungjawab.
Pompeo bagaimanapun berkata, AS berhasrat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi konflik terbabit.
"Kami mahu penyelesaian damai dan kami telah menunjukkan hasrat tersebut.
"Kami berharap Iran turut mempunyai pandangan yang sama," kata Pompeo kepada wartawan.
Terdahulu, Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif memberi amaran, sebarang serangan dari pihak AS atau tentera Saudi terhadap Iran akan mencetuskan perang besar.
"Kami tidak mahu peperangan, namun kami tidak akan berfikir panjang dalam mempertahankan negara," kata Zarif dalam temuramah CNN semalam. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!