KPM pantau jerebu, pelajar ikuti pembelajaran melalui dalam talian

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan diteruskan secara dalam talian sekiranya penutupan sekolah berlarutan ekoran masalah jerebu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) memantau rapi situasi jerebu di negara ini terutamanya menjelang ujian bertulis Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dijadualkan bermula 30 September ini.

“Sekiranya ini (jerebu) berlanjutan, kita akan ambil tindakan yang sama seperti insiden yang berlaku di Pasir Gudang (Johor) iaitu meminta guru terlibat untuk meneruskan sesi PdP melalui dalam talian,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Hadiah bagi Pertandingan Menulis Esei ‘DKLS Linguistic Ambassador Award’ di sini hari ini.

Malah, katanya, guru-guru dinasihatkan untuk memberi tugasan kepada pelajar yang sedang bercuti sekarang melalui Google Classroom kerana sekolah ditutup sebagai opsyen pelantar pembelajaran alternatif.

Sekolah-sekolah di beberapa negeri ditutup beberapa hari setelah bacaan Indeks Pencemaran Udara melebih 200.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Mengenai ‘DKLS Linguistic Ambassador Award’, Teo berkata, pertandingan yang memasuki tahun keempat itu telah menarik penyertaan seramai 20,582 orang pada tahun ini berbanding 8,529 orang pada 2016.

Pertandingan itu bertujuan meningkatkan kecemerlangan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar tingkatan empat dan lima serta mengukuhkan penguasaan dan kemahiran penulisan kreatif peserta dalam bahasa itu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!