'Arwah aktif di masjid, sentiasa solat berjemaah'
SUNGAI PETANI - Seorang bilal sukarela sempat melaungkan azan Isyak sebelum rebah dan meninggal dunia di Masjid An- Nur Felda Teloi Timur, Kuala Ketil, Kedah malam semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Ahmad Saad, 68, yang merupakan peneroka di kawasan berkenaan dipercayai mengalami sesak nafas dan rebah ketika mengangkat takbir sewaktu menunaikan solat sunat.
Saksi kejadian, Azzahari Zakaria, 47, berkata, kejadian berlaku selepas arwah selesai melaungkan azan dan kembali ke saf untuk solat sunat.
"Sebelum itu semua jemaah selesai membaca surah Yasin bersama-sama sempena malam Jumaat.
"Habis baca Yasin, arwah laungkan azan untuk solat Isyak, kemudian dia mahu solat sunat, masa angkat takbir dia tiba-tiba rebah," katanya.
Pasukan perubatan Hospital Sik yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia.
Azzahari yang mempunyai pertalian keluarga dengan Ahmad turut menjadi bilal sukarela di masjid berkenaan serta bergilir-gilir melaungkan azan bersama arwah dan beberapa penduduk tempatan lain.
"Arwah cukup disegani, mudah bergaul serta jarang sekali melihat dia marah.
"Sifatnya yang suka bergurau selain suka senyum membuatkan dia mudah didekati," katanya.
Azzahari berkata, arwah seorang yang aktif di masjid serta sentiasa mengerjakan solat berjemaah di masjid itu.
"Semalam, dia sempat lagi kutip getah sekerap empat guni bawa balik hasil menoreh," katanya.
Menurutnya, pemergian arwah tidak disangka-sangka selain dicemburui ramai kerana mempunyai tanda husnul khatimah yang mana meninggal dunia selepas melaungkan azan, berada dalam masjid, berlaku malam Jumaat serta dikebumikan sebelum solat Jumaat.
"Ini semua rahsia ALLAH, moga menjadi pedoman buat kita semua, Inya -ALLAH" katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman mengesahkan menerima laporan kematian mangsa.
"Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas sebelum rebah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN Peneroka Felda meninggal selepas laung azan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!