Pengarah Suatu Ketika positif penerimaan penonton
BIARPUN sudah hampir seminggu ditayangkan, filem Suatu Ketika arahan Prakash Murugiah kurang mendapat sambutan dan hanya mengutip hampir RM200, 000.
Tidak kecewa dengan kutipan yang kurang memberangsangkan, Prakash berkata, dia percaya filem arahannya itu akan diketahui oleh orang ramai sedikit masa lagi.
Katanya, kesilapan juga mungkin berpunca daripada pihaknya yang menyangkakan orang ramai sudah sedia maklum mengenai filem Suatu Ketika.
"Saya tak salahkan orang tidak menonton filem saya. Jika nak dibandingkan dengan filem lain yang berada di pawagam, saya kira promosi mereka lebih besar dan bagus.
"Ketika filem ini hampir ditayangkan, saya sangka masyarakat di luar sana tahu tentang filem ini. Tapi sebenarnya yang tahu adalah mereka yang dekat atau mengenali kami.
"Walaupun kutipan agak perlahan pada hari pertama dan kedua, namun senario itu sudah berubah sejak beberapa hari kebelakangan ini apabila beberapa hall yang kami masuk, hampir penuh.
"Apa yang membuat kami terharu, kami mendengar tepukan oleh penonton pada babak akhir filem ini," katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Prakash, pihak GSC juga sudah membantu dengan menambah dan mengubah waktu tayangan ke sebelah malam, bagi memberi peluang kepada penonton untuk menonton selepas waktu bekerja.
Jelasnya, sebelum ini kebanyakan waktu tayangan bermula pada jam 11 pagi dan kurang tayangan pada sebelah malam.
"Saya harap dengan perubahan ini akan memberi peluang kepada yang belum menonton untuk menonton.
"Malah pada yang sudah menonton, sekiranya bagus dan mereka berpuas hati, kami harap mereka tolong menguar-uarkan filem ini pada orang lain," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/48238
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!