Kokain dicampur arang batu RM2.4 bilion dirampas
GEORGETOWN - Kokain bernilai RM2.4 bilion yang dibawa masuk ke negara melalui pelabuhan di Burterworth berjaya dirampas polis pada Selasa lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kokain yang dicampur dengan arang batu seberat 60 tan dikesan berada di pelabuhan berkenaan sejak 19 Ogos lalu.
Menurutnya, aktiviti penyeludupan dadah yang didalangi sindiket antarabangsa menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum bahan terlarang itu dihantar ke negara lain.
"Sindiket ini cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan kaedah baru iaitu mencampurkan dadah ke dalam arang batu yang sukar dikesan menggunakan teknologi dan kaedah biasa.
"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh Jabatan Kimia mendapati sebanyak 12 tan kokain yang dicampur dengan arang batu," katanya pada sidang media di sini petang tadi.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.
Abdul Hamid berkata, dalam Op Eagle itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai menguruskan tiga kontena yang membawa dadah berkenaan.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
"Ini rampasan terbesar dalam sejarah Malaysia dan kita masih lagi menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sindiket ini.
"Lelaki yang ditahan kini direman selama 14 hari untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, memandangkan sindiket antarabangsa ini menggunakan pelbagai kaedah yang canggih untuk mengelirukan pihak berkuasa maka wajar untuk kerajaan untuk meningkatkan keupayaan jabatan berkenaan termasuk Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dengan mempertingkatkan penggunaan teknologi terkini.
AKAN MENYUSUL
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!