Suspek bakar hutan kini cecah 249 orang
JAKARTA - Polis Indonesia hari ini menamakan 19 lagi suspek di bawah siasatan sama untuk menentukan sama ada kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Sumatera dan Kalimantan yang mencetuskan jerebu teruk dan kini merebak ke Singapura dan Malaysia dilakukan secara haram atau sengaja.
Antara yang dinamakan sebagai suspek baharu adalah enam syarikat di wilayah Riau, Jambi, Kalimantan Tengah, Kalimantan Barat dan Sulawesi Selatan.
"Jumlah suspek dijangka meningkat berikutan siasatan diperluaskan di kawasan terlibat. Ini adalah usaha keras yang dibuat Polis Indonesia untuk mencegah tindakan pembakaran secara sengaja yang menjejaskan rakyat dan supaya perkara ini tidak berulang lagi," kata jurucakap Polis Nasional, Muhammad Iqbal.
Jelasnya, polis juga sedang menyiasat dakwaan bahawa pembakaran terbuka itu dilakukan secara terancang.
"Penguatkuasaan undang-undang adalah salah satu daripada senjata utama untuk membendung krisis ini. Jadi, kita mesti tegas dan tidak hanya mendedahkan pelaku malah dalang utama juga akan diheret ke muka pengadilan," tegasnya.
Tangkapan terbaharu itu, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan suspek kini mencecah 249 orang susulan 230 ditahan selepas disyaki terlibat dalam pembakaran hutan di pulau utama di negara itu pada Rabu lalu.
Ia termasuk tiga lelaki yang ditangkap pada Isnin lalu ketika cuba membersihkan kawasan pertanian di Taman Negara Tesso Nilo yang menjadi habitat kira-kira 140 spesies terancam gajah liar.
Sementara itu, Kementerian Perhutanan dan Alam Sekitar menyalahkan industri perkayuan dan perladangan atas kegagalan mereka untuk mengelakkan kebakaran ketika musim kering.
Menurut kementerian itu, hanya kira-kira 22 peratus pemegang permit atau 2,179 firma menghantar laporan mandatori tentang kawalan kebakaran hutan.
Di bawah undang-undang alam sekitar negara itu, suspek boleh didakwa dan berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun jika disabit bersalah.
Semalam, satelit Agensi Mitigasi Bencana mengesan 2,719 titik panas di seluruh negara dan 99 peratus daripadanya disebabkan oleh pembakaran secara sengaja. - Agensi
INFO:
>Sejak Januari hingga Ogos, 27.3 peratus daripada 328,724 hektar kawasan terbakar adalah tanah gambut.
>Seramai 29,039 anggota keselamatan dikerah untuk kawal kebakaran bersama 52 helikopter sejak beberapa hari lalu.
>Tiga pesawat berada dalam keadaan siap sedia di Riau dan Kalimantan Tengah untuk operasi pembenihan awan.
>Pihak berkuasa Indonesia menutup kawasan pertanian milik 49 syarikat perladangan.
>44 helikopter telah melepaskan lebih 71 juta gelen air dan 163 tan garam untuk pembenihan awan.
>Jerebu teruk pada 2015 menyebabkan kebakaran di kawasan seluas 25,899 kilometer persegi. Bank Dunia menganggarkan kebakaran itu mengakibatkan Indonesia terpaksa tanggung kos kerugian AS$16 bilion (RM66.7 bilion).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!