‘Ingat Malaysia baharu tiada larangan dah’
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di laman Twitternya menyindir kenyataan Maszlee mengenai larangan tersebut.
“Ingat Malaysia baharu tiada larangan dah,” katanya.
Sementara itu, penasihat Lawyer of Liberty, N Surendran berkata, tindakan tersebut sama seperti kerajaan BN dahulu.
“Jika anda melakukannya, anda tiada beza dengan pemerintah BN dulu yang melakukan perkara sama ketika mereka berkuasa,” katanya.
Hari ini, Maszlee dalam ketika menggulung perbahasaan Belanjawan 2019 berkata, ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah kerajaan bagi menghadiri program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.
Isu larangan ahli Parlimen pembangkang memasuki sekolah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit semalam.
Susulan itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin mengeluarkan kenyataan tidak wajar ahli Parlimen pembangkang didiskriminasi sebegitu.
“Ya, ia pernah dan agak kerap berlaku ke atas para ahli Parlimen pembangkang seperti kami semasa rejim BN berkuasa dahulu.
“Andai kata dakwaan itu benar, saya rasa ia amat tidak betul dan jelas bercanggah dengan prinsip dan roh kesamarataan di sisi undang-undang ( equality before the law ) di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!