Sejuknya Malaysia, tengah hari pun ‘berkabus’

Tidakkah keadaan ini umpama kabus namun sayangnya ia adalah jerebu, bukanlah kabus seperti diidamkan.
FOTO: ZAHID IZZANI
Tidakkah keadaan ini umpama kabus namun sayangnya ia adalah jerebu, bukanlah kabus seperti diidamkan. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Terletak berhampiran garisan Khatulistiwa, beriklim panas dan lembap, purata hujan yang agak tinggi saban tahun mana mungkin Malaysia boleh dilabel sebagai negara sejuk.

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, mana-mana tempat pun dipenuhi kabus. Kuala Lumpur, agak ketara juga, tengah hari pun masih berkabus seolah-olah mendung saja. Di Sarawak, lebih hebat kabusnya, sampai jalan pun tak nampak.

Perkataan kabus hanyalah untuk menyedapkan, menyejukkan hati yang membara kerana kita saban tahun, tanpa jemu perlu berdepan masalah jerebu. Lebih mengharukan, asap-asap itu bukan datang daripada negara kita tapi dari jiran kita, Indonesia.

Walaupun mereka menuding jari kepada Sarawak, mendakwa negeri itu punca jerebu di Malaysia tapi satu dunia tahu, satu dunia nampak apinya datang dari mana. Bukan Malaysia sahaja terjejas, Singapura pun ikut sama menerima kesannya.

Yang hairannya, rakyat Indonesia claim bermacam-macam perkara, asal saja melibatkan Malaysia, ada saja yang tidak puas hati. Baik makanan, pakaian, habis semua diclaimnya, mengatakan ia dari Indonesia.

Usaha melakukan pembenihan awan diharap dapat mengatasi masalah jerebu yang melanda sekarang.
Usaha melakukan pembenihan awan diharap dapat mengatasi masalah jerebu yang melanda sekarang.

Berdemolah mereka di hadapan Kedutaan Malaysia di sana. Punyalah hebat, kononnya mempertahankan yang datang dari Indonesia, perlu jadi hak Indonesia. Bila jerebu, sah-sah memang dari sana, ada bukti mengesahkannya, dituduh pula Sarawak ‘dalangnya’.

Claim sajalah, memang jerebu ini datang dari negara kamu! Kapan mahu claim?

Artikel Berkaitan:

Teringat satu tulisan yang pernah saya baca dulu, kalaulah kata jerebu ini memang benar datang dari Malaysia, merebak pula ke Indonesia maka bersedialah, pasti kecoh, hiruk-pikuk keadaan di hadapan Kedutaan Malaysia di sana.

Mujur, rakyat kita masih berfikiran waras, tidak membuta tuli seperti segelintir rakyat negara sana. Hanya segelintir bersikap demikian namun satu negara menerima kesannya. Tidaklah kita memusuhi Indonesia cuma kadangkala ‘sakit hati’ juga melihat 'peel' mereka.

Marcapada ini, pegilah ke ibu-ibu kota seluruh negara, kelibat lelaki dan perempuan memakai topeng muka pasti kelihatan. Pelbagai bentuk, pelbagai warna menghiasi laluan-laluan di ibu kota.

Ternyata kesan jerebu kepada negara kita lebih ketara. Masakan tidak, berdasarkan cerapan indeks pencemaran udara (IPU) oleh World Air Quality Index (WAQI), Malaysia mencatat bacaan IPU 266.

Ia merupakan bacaan tertinggi di dunia diikuti Afrika Selatan (217), Indonesia (207), India (194) dan China (178). Menghairankan, bacaan di Indonesia tidak setinggi Malaysia.

Keadaan di Malaysia sekarang.
Keadaan di Malaysia sekarang.

Di Malaysia, bila tiba sahaja musim jerebu maka sibuklah rakyat Malaysia merencana 1,001 rancangan. Dari sudut pihak berkuasa dan kementerian, ada perancangannya dan bagi rakyat biasa pula, ada juga perancangan mereka.

Semuanya bagi memastikan kesihatan tetap optimum meskipun terpaksa menyedut asap setiap hari. Teruknya keadaan jerebu di Malaysia menyebabkan ratusan sekolah terpaksa ditutup bagi mengurangkan risiko kesihatan kepada pelajar.

Hampir sebulan, jerebu masih ‘beraja’ di ruang udara kita. Harapnya usaha pembenihan awan membawa hasil positif. Untuk Indonesia, kami doakan agar segalanya beransur pulih, kebakaran dipadamkan secepat mungkin dan jerebu semakin berkurang.

Rindu rasanya ingin melihat langit yang kebiru-biruan dan awan yang memutih. Sekarang, hanya nampak ‘kabus’ menyeliputi langit, perit di tekak dan selesema ikut sama menyerang.

Jerebu, nyahlah kau dari Malaysia!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!