Tak setuju tapi reda

A
A
A

HAKIKATNYA, tidak semua perkara di dunia ini dibina atas persetujuan yang mutlak. Kebanyakannya dibina atas persetujuan majoriti, pengaruh mereka yang berkuasa serta demi kepentingan umum berbanding khusus.

Natijahnya, dunia sentiasa dipengaruhi oleh gerakan manusia yang menuntut keadilan menurut perspektif masing-masing. Kesemua gerakan itu, bermula daripada kehendak peribadi kepada gerakan kumpulan dan seterusnya menjadi gerakan secara berorganisasi dan diakhiri dengan gerakan massa. Pun begitu, ada gerakan yang berjaya meminda perkara-perkara yang mereka tidak persetujui manakala ada juga yang tertangguh serta gagal.

Sebetulnya, terdapat pelbagai perspektif berkaitan dengan tidak setuju.

Selain daripada isu-isu besar seperti perbezaan agama, budaya, adab serta pegangan politik yang mendorong kepada konflik tidak setuju perkara yang paling penting adalah tentang nilai.

Apa yang jelas, nilai ini adalah berkaitan dengan keadilan, kejujuran serta kesaksamaan.

Jika sesuatu perkara yang dilaksanakan itu berteraskan nilai yang betul, kemungkinan besar paling tinggi tahap tidak bersetuju itu hanyalah pada peringkat agree to disagree atau bersetuju untuk tidak bersetuju.

Terma itu berdasarkan prinsip kita bertoleransi dengan sesuatu yang dikemukakan oleh mana-mana pihak namun masih tidak bersetuju.

Prinsip itu diambil kira bagi mengelak konflik yang lebih besar dan berpanjangan. Justeru, perbahasan berkaitan isu tersebut akan dibuka semula setelah dapatan baru diperoleh.

Artikel Berkaitan:

Memandangkan bukan mudah menyamatarafkan semua nilai bagi setiap lapisan masyarakat dan organisasi berbeza sudut pemikiran, kehendak dan persekitaran.

Apa yang boleh kita lakukan adalah dengan meningkatkan keredaan terhadap apa yang ditakdirkan kepada kita walaupun tidak setuju dengan apa jua dasar dan perkara yang memberi impak langsung kepada kita.

Mungkin kita boleh memberikan alasan bahawa dasar tersebut tidak adil, pilih kasih, tidak matang dan zalim, namun kesemuanya masih dalam peringkat andaian semata-mata.

Berkaitan hal itu, ALLAH berfirman: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagi kamu. ALLAH maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2:216).

Hari ini, jurang antara kelompok setuju dan tidak setuju terhadap sesuatu dasar dan peraturan amat ketara.

Mereka jauh berpegang kepada prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju serta meningkatkan tahap keredaan dalam diri.

Keadaan itu boleh membahayakan perkembangan sesebuah negara dan organisasi kerana masing-masing menunggu masa untuk menegakkan fahaman mereka dengan cara yang tersendiri serta membentuk kitaran menuntut hak yang tidak berkesudahan.Menurut perspektif psikologi, sifat reda itu amat penting dan berkait rapat dengan istilah acceptance atau menerima segala situasi yang dihadapi oleh mereka terutama perkara negatif serta keadaan yang tidak selesa tanpa ada cubaan untuk mengubah dan membangkang peristiwa tersebut.

Pun begitu, terdapat pandangan menyatakan sifat ‘menerima’ tidak begitu bagus kerana mengajar kita pasif dan mudah berserah. Namun, sifat menerima itu memerlukan motivasi yang tinggi untuk bersetuju dengan apa yang kita tidak suka.

Pada hemat saya, sifat reda tidak akan tercapai seandainya kita tidak menghargai apa yang ada. Kita seharusnya menghargai semua perkara sama ada di peringkat kecil atau besar.

Kita perlu ingat apa yang kita tidak setuju kemungkinan besar lebih ramai yang bersetuju.

Selain itu, wujud kelompok yang kalah, mula cari gelanggang lain untuk teruskan kehidupan. Namun mereka lupa tiada satu pun gelanggang kehidupan di dunia ini yang memberikan kepuasan untuk semua.

Akhirnya, diri sendiri tersungkur kerana masih tidak berhenti untuk bertukar gelanggang bagi memenuhi kepuasan diri. Jalan yang baik adalah perlu reda walaupun tidak bersetuju.

Sifat reda tidak akan tercapai seandainya kita tidak menghargai apa yang ada."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!