Wajib bersatu demi Islam

Fahimi
Fahimi
A
A
A
RASULULLAH SAW merupakan tokoh perpaduan dalam sejarah Islam yang kita dapat lihat dalam banyak aspek kehidupannya sama ada sewaktu di Makkah mahupun Madinah, bahkan kesungguhannya untuk menyatupadukan umat Arab khususnya dibuktikan sebelum kenabian Baginda lagi.

Sheikh Said Ramadan al-Buti (1991) menceritakan ketika Kaabah siap dibina pada tahun 605 masihi, berlaku perbalahan antara kabilah Arab sehingga hampir menumpahkan darah lantaran perebutan untuk meletakkan Hajarul Aswad di tempatnya.

Menurut riwayat daripada Jabir bin Abdullah RA bahawa akhirnya mereka bersetuju untuk melantik siapa terlebih dahulu memasuki Masjidil Haram sebagai hakim untuk menyelesaikan masalah itu.

Menurut Imam al-Bukhari dalam sahihnya, dengan izin Allah SWT Bagindalah orang pertama yang memasuki masjid dan akhirnya Baginda dilantik sebagai hakim.

Ibnu Abbas RA yang ketika itu berada bersamanya berkata, “jadikanlah selendangmu sebagai alas untuk meletakkan Hajarul Aswad”. Lalu Baginda meletakkan Hajarul Aswad di atas selendang itu dan meminta setiap ketua kabilah memegang di penjuru selendang itu, apabila sampai di penjuru Kaabah maka Baginda mengambil Hajarul Aswad dan meletakkannya di tempatnya.

Walaupun kabilah itu kafir musyrik, namun Baginda tetap menyatupadukan mereka demi menjaga kehormanian penduduk Makkah pada waktu itu yang terdiri daripada pelbagai kabilah.

Begitu juga selepas hijrah ke Madinah, Baginda mempersaudarakan kabilah Yahudi seperti kabilah Aus dan Khazraj daripada bani Qainuqa’, Nadhir dan Quraizah yang merupakan kabilah Yahudi terbesar di Madinah.

Walaupun secara zahir kelihatan seperti penyatuan golongan kafir musyrik dan Yahudi, namun sebenarnya proses penyatuan ini sebagai strategi bijak Baginda untuk mendapat sokongan rakyat terhadap usaha pembinaan negara Islam dan kekuatan umat Islam itu sendiri.

Perintah penyatuan ini secara jelas melalui firman Allah SWT, “Sesungguhnya umat kamu ini umat yang satu sahaja dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku” (al-Anbiya’: 92). Umat yang satu ini ialah umat Islam seperti sabda nabi, “Seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain, dia tidak akan menzalimi dan membiarkannya” (HR al-Bukhari).
Artikel Berkaitan:


Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam Konvensyen Fiqh Ummah (2012) menyebut tentang masalah Fiqh al-Ikhtilaf yang sepatutnya bukan menjadi alasan perpecahan.

Menurutnya lagi, umat Islam wajib bersatu atas banyak perkara yang sama dan mengetepikan perbezaan yang sedikit itu kerana umat Islam hanya akan terselamat dari bahaya melalui penyatuan dengan bimbingan golongan ilmuan dan pemikir Islam yang memahami tuntutan dan hakikat ini, bukan berasaskan semangat orang awam semata-mata.

Hanya orang Islam sahaja yang memahami perkara aqidah yang mencakupi soal-soal ghaib iaitu keimanan kepada ALLAH SWT dan Rasul-Nya melalui penyatuan umat atas dasar akidah Islamiyah yang pasti akan menyelamatkan umat manusia keseluruhannya.

Firman ALLAH SWT, “Hanya orang mukmin sahaja yang bersaudara, oleh itu damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada ALLAH semoga kamu sentiasa mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10) sudah memadai untuk difahami betapa penyatuan demi Islam suatu kewajipan yang mutlak.

Jika sirah nabawiyyah telah menunjukkan penyatuan sesama kafir sekalipun dibuat oleh Baginda, maka apatah lagi penyatuan umat Islam yang sudah pasti membawa kepada kebaikan agama, dunia dan akhirat.

Umat Islam mempunyai satu tuhan, satu akidah, satu kiblat, satu syariat dan satu kitab yang menjadi asas yang kukuh ke arah pemerintahan dan pentadbiran Islam yang lengkap dan menyeluruh tanpa ada perasaan takut dari sebarang tentangan golongan kuffar yang melampau.

Sesungguhnya kelemahan umat Islam antaranya berpunca dari perbalahan dan sikap berbantah-bantah dalam urusan agama. Kemusnahan negara Islam seperti Palestin, Syria, Iraq, Libya dan Tunisia membuktikan kerakusan pemimpin Islam dengan kuasa dan harta membuka peluang kesempatan kepada kuasa besar dunia untuk masuk bersama teknologi dan ideologi mereka yang membunuh jiwa-jiwa Islam yang tidak berdosa.

Selain itu, kita dapat lihat proses pembersihan umat Islam yang menyayat hati di Rohingya, Bosnia, Pattani, Mindanao dan Xin Jiang sebenarnya berpunca dari kelalaian umat Islam yang sedang nyenyak tidur diulit mimpi di atas tilam ampuk.

Ingatlah bahawa Umar al-Khattab RA sanggup keluar sehingga ke Rom, Mesir dan Parsi hanya semata-mata untuk menyuruh manusia bersatu atas nama Islam.

Sebagai seorang muslim, kita wajib menyokong dan bersama dalam apa sahaja usaha ke arah penyatuan umat Islam sama ada di peringkat kerajaan, parti mahupun NGO termasuklah usaha seperti kempen Buy Muslim First (BMF), utamakan yang halal dan bersatu demi Islam. Sebaliknya jika umat Islam sendiri bersekongkol dengan golongan kuffar, maka tiada lagi kemanisan iman dalam diri mereka dan sesungguhnya mereka jauh dari petunjuk ALLAH SWT. Yakinlah bahawa apabila kita menjaga Islam, InsyaAllah akan terjagalah bangsa dan negara kita. Wallahualam

*Fahimi Zakaria, Pensyarah di Pusat Pengajian Asasi, Management & Science University (MSU)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!