Elsa tarik pengunjung ke Zoo Melaka
MELAKA - Zoo Melaka yakin seekor harimau putih Bengal bernama Elsa mampu menarik lebih ramai pengunjung ke zoo berkenaan sekali gus mencapai sasaran 500,000 pengunjung tahun ini.
Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Afzai Nizam Sariman berkata bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, jumlah pengunjung meningkat sebanyak 20 peratus atau 254,724 orang berbanding 197,416 orang bagi tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata, selain Elsa, penambahbaikan beberapa infrastruktur dan kemudahan di zoo berkeluasan 8.9 hektar itu serta penyelenggaraan secara konsisten kenderaan di zoo turut meningkatkan jumlah pengunjung.
"Kita optimis mampu mencapai sasaran 500,000 pengunjung sehingga Disember ini berikutan adanya produk baharu iaitu harimau putih Bengal berusia satu tahun 10 bulan, iaitu 'Elsa' selain kita dijangka menerima haiwan baharu yang lain antaranya singa, badak air, seladang, tapir, gajah dan burung merak.
"Pihak Zoo Melaka juga komited untuk mempelbagaikan lagi aktiviti dan daya tarikan pengunjung dengan menyediakan pakej-pakej menarik supaya orang awam yang datang ke zoo ini rasa berbaloi, seronok dan mereka akan datang kembali," katanya di sini semalam.
Pusat rekreasi haiwan yang ditubuhkan pada 1963 itu merupakan zoo kedua terbesar di Malaysia, menempatkan kira-kira 543 haiwan daripada 148 spesies yang berlainan dari seluruh dunia selain berperanan sebagai pusat pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan.
Untuk rekod, jumlah pelancong yang berkunjung ke Zoo Melaka pada tahun lepas sebanyak 409,430 orang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!