Jerebu: Penghantar makanan tak menang tangan
Gambar hiasan
A
A
A
Rata-rata penghantar makanan yang dihubungi memberitahu pendapatan mereka turut meningkat apabila ramai pelanggan mengambil peluang menggunakan baucar promosi yang ditawarkan.
Bagi seorang penghantar makanan sepenuh masa, Hafiz Zakaria, 28, beliau tidak menang tangan apabila menerima hampir 40 pesanan sehari dalam tempoh enam jam berbanding sekitar 20 pesanan pada hari biasa.
“Kalau nak ikutkan, orang (pelanggan) lagi malas nak keluar ketika waktu jerebu ni sebab kalau keluar mereka terpaksa ambil risiko mengenai kesihatan anak-anak.
"Jadi, ramai yang ambil peluang buat pesanan makanan dan inilah peluang kami tambah pendapatan,” katanya.
Keputusan yang diambil Hafiz untuk meninggalkan kerjaya lamanya di sebuah syarikat swasta dianggap berbaloi apabila dia bukan sahaja dapat meningkatkan pendapatannya, malah mengecapi kepuasan bagi dirinya apabila dapat membantu pelanggannya untuk mendapatkan makanan.
“Tak semua orang mampu pergi sendiri ke restoran. Ada pelanggan saya terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
"Kalau musim jerebu ni, dapatlah juga bantu pelanggan yang ada risiko kesihatan seperti asma atau orang tua daripada keluar sendiri untuk membeli makanan,” katanya yang memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan.
Senada dengan Hafiz, Sabri Mohamad,43, yang juga penghantar makanan sepenuh masa berkata, kebanyakan penghantar makanan akan menggunakan topeng muka dan kaca mata hitam bagi mengurangkan risiko jerebu.
“Cuaca panas memang tak menghalang kami daripada menjalankan tugas. Kami tetap bekerja seperti biasa, tetapi masing-masing ambil inisiatif sendiri dengan pakai topeng muka, kaca mata dan minum air kosong yang banyak ketika musim ni.
“Majikan juga selalu ingatkan kami supaya menjaga kesihatan dan pakai topeng. Memang pada awalnya rasa agak tak selesa sebab selalu kena pakai topeng, tetapi demi kesihatan, kami tak ada pilihan lain," katanya yang turut mendapat lebih 20 pesanan sehari.
Sabri berkata, pesanannya turut bertambah ketika hujung minggu apabila kebanyakan ibu bapa mengambil kesempatan untuk berehat dan makan di rumah terutamanya ketika musim jerebu.
“Dalam sehari, saya ada sasaran sendiri...kalau dapat dalam RM100 lebih sehari, dah cukup memadai dan saya akan sambung kerja untuk esok harinya pula,” katanya yang membuat penghantaran makanan kira-kira 10 jam sehari.
Sementara itu, Ketua Operasi GRAB Malaysia, Rashid Shukor, berkata, syarikat itu telah mengambil inisiatif dengan mengedarkan topeng muka untuk melindungi 10,000 penunggangnya di seluruh negara.
"Sejak jerebu bermula, kami mula memberikan topeng pembedahan tetapi apabila keadaan bertambah buruk, kami mula kerjasama dengan rakan peniaga terpilih dan rakan kongsi 'Grab Driver Pit Stop’ untuk menyediakan topeng jenis N95 dan air setiap hari kepada penunggang kami.
"Kami juga menghantar peringatan kepada penunggang supaya menjaga kesihatan menerusi laman komuniti Facebook dan juga dalam aplikasi Rider,” katanya.
Memandangkan situasi jerebu, beliau meminta pelanggan supaya bersabar jika pesanan mereka mengambil masa yang lebih lama untuk dihantar kerana rakan kongsi penghantaran mungkin memerlukan rehat tambahan untuk menghadapi keadaan cuaca ketika ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!