Ditahan ketika asyik layan pelanggan!
LUMUT - Seramai 45 wanita warga Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam Op Bersepadu di sebuah pusat karaoke di Persiaran PM 2/5, Seri Manjung di sini malam tadi.
Operasi selama dua jam bermula pada jam 12.30 malam itu dilakukan oleh sepasukan 41 pegawai dan anggota daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak.
Pengarah Imigresen Perak, Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
“Kesemua wanita ini ditahan bersama seorang majikan dan lima pekerja warga tempatan. Mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun.
“Ketika serbuan dibuat, mereka sedang asyik melayan pelanggan tanpa menyedari kehadiran penguatkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati premis yang telah beroperasi lebih setahun itu sering menjadi tumpuan warga tempatan untuk mendapatkan layanan wanita warga asing.
“Anggota kita turut berhadapan dengan karenah pelanggan yang memberi pelbagai alasan termasuk mengakui warga asing ini sebagai teman wanita atau isteri.
“Kami juga terpaksa menahan seorang lelaki berusia 40-an yang bertindak agresif dengan cuba menghalang tugas penjawat awam. Lelaki ini turut dibawa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Kamalludin berkata, kesemua mereka yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, melanggar syarat pas lawatan dan tinggal lebih masa di negara ini.
“Majikan dan pekerja yang ditahan boleh didakwa kerana melindungi dan menggaji warga asing tanpa pas sah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!