Nasi lemak buluh sebagai 'pelaris'

Pelanggan, Nurul Ain Nadhirah Basharludin, 30, teruja menikmati nasi lemak buluh. - Foto Bernama
Pelanggan, Nurul Ain Nadhirah Basharludin, 30, teruja menikmati nasi lemak buluh. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pelbagai idea kreatif digunakan pengusaha menu nasi lemak bagi melariskan perniagaan atau menjadikan ia lain daripada yang lain termasuk menggunakan buluh.

Bagi Wan Abdullah Wan Kadir, 49, dia mempertaruhkan jualan nasi lemaknya dengan menggunakan buluh bagi menarik pengunjung ke premis perniagaannya yang dirasakan agak tersorok di Jalan Tun Ismail, di sini.

Menurutnya, idea itu timbul hasil perbincangan dengan ahli keluarga selain mengambil kira pandangan rakan dan orang ramai di laman sosial.

Katanya, setakat ini mereka menggunakan 100 keratan buluh untuk hidangan nasi lemak setiap hari sejak ia beroperasi dua bulan lepas.

"Pada hujung minggu, jumlah keratan buluh yang digunakan boleh mencecah sehingga 300. Pengalaman mengetuk nasi lemak keluar dari buluh menjadikan pengalaman menikmati juadah popular rakyat Malaysia lebih unik di sini.

"Pelanggan juga beritahu rasa nasi lemak yang dimasak dalam buluh lebih berlemak sehingga enak walaupun dimakan begitu sahaja," katanya ketika ditemui di kedainya di sini

Wan Abdullah yang berpengalaman selama lapan tahun dalam bidang katering berkata, nasi lemak buluh dijual pada harga RM3 sepinggan dengan bahan asas iaitu sambal bilis, kacang goreng, timun dan telur rebus.

Artikel Berkaitan:

Nasi lemak buluh menjadi bualan warga Kuantan selepas pelanggan yang berpuas hati dengan kelazatan hidangan tersebut menghebohkan di laman media sosial ketika tinjauan Bernama. - Foto Bernama
Nasi lemak buluh menjadi bualan warga Kuantan selepas pelanggan yang berpuas hati dengan kelazatan hidangan tersebut menghebohkan di laman media sosial ketika tinjauan Bernama. - Foto Bernama

Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih tambahan lauk lain seperti sambal paru, ayam goreng berempah dan telur mata selain bayaran tambahan RM1 dikenakan untuk tambahan satu buluh nasi.

"Bekalan buluh diperoleh dari kenalan di Sungai Lembing kerana buluh yang kami guna adalah jenis tebal, bukan seperti yang digunakan untuk memasak lemang.

"Buluh tebal lebih sesuai supaya tidak pecah kerana proses memasak nasi lemak ini mengambil masa yang lama, selain boleh dibasuh untuk digunakan semula," katanya.

Wan Abdullah berkata, proses memasak nasi lemak buluh bermula jam 3 petang hari sebelumnya kerana beras perlu direndam semalaman sebelum dikukus kali pertama dan digaul dengan santan segar sebelum dimasukkan ke dalam buluh untuk dikukus kali kedua.

Dia berkata, proses penyediaan sambal juga turut mengambil masa kerana dimasak menggunakan api kecil antara lima ke enam jam untuk menjadikan rasanya lebih enak dan tahan lama.

"Walaupun renyah, saya seronok melihat pelanggan berpuas hati dengan rasanya.

"Malah, ada yang menyatakan harga saya agak murah namun kami berpandangan ini adalah cara untuk kami bersedekah," katanya. - Bernama

Kakitangan Wan Nur Athirah Najwa Wan Abdullah, 17, menyediakan nasi lemak buluh yang menjadi bualan warga Kuantan selepas pelanggan yang berpuas hati dengan kelazatan hidangan tersebut menghebohkan di laman media sosial. - Foto Bernama
Kakitangan Wan Nur Athirah Najwa Wan Abdullah, 17, menyediakan nasi lemak buluh yang menjadi bualan warga Kuantan selepas pelanggan yang berpuas hati dengan kelazatan hidangan tersebut menghebohkan di laman media sosial. - Foto Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!