Pemuda maut, motosikal bertembung kereta
PASIR MAS - Seorang pemuda maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah kereta di Jalan Pasir Mas-Kota Bharu berhampiran Kampung Kasar dekat sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.24 malam itu mangsa, mangsa, Muhammad Ammar Mohd Yusuf, 21, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Waja berusia 24 tahun tidak mengalami kecederaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Ismail Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun itu dari arah Pasir Mas menghala ke Kota Bharu.
"Setiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai sedang memotong kenderaan dari arah bertentangan.
"Motosikal itu masuk ke laluan bertentangan sehingga menyebabkan pelanggaran dengan kereta Proton Waja," katanya.
Kesan pelanggaran itu, mangsa maut di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk bedah siasat.
Ismail berkata, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Banggol Ara merupakan bekas pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik Politeknik Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!