Pembangunan Kampung Baru bukan omong kosong: Menteri
KUALA LUMPUR - [VIDEO] Pembangunan Kampung Baru bukan omong kosong, sebaliknya kerajaan sudah punya perancangan dan pelan menyeluruh, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata demikian menjawab soalan salah seorang pemilik tanah pada sesi Town Hall Pembangunan Kampung Baru di sini hari ini.
"Kita bangunkan tanah melibatkan pelaburan RM6 bilion atau RM10 bilion untuk beli tanah, bangunkan semula kemudian jual.
"Duit yang dilaburkan kita dapat semula, berbeza dengan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional), minyak dan tol ia melibatkan kos tapi pulangan tak dapat," katanya pada sesi itu yang berlangsung di Dewan Perdana Felda di sini hari ini.
Jelas Khalid, cadangan pembangunan Kampung Baru itu tidak boleh disamakan dengan isu mansuh tol, janji PTPTN atau menurunkan harga minyak oleh Pakatan Harapan (PH).
Sesi town hall yang berlangsung hari ini dihadiri kira-kira 2,000 pemilik tanah Kampung Baru.Beberapa kali dewan digamatkan dengan suara-suara kurang senang dengan jawapan Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu.
"Kerajaan BN dan PH (Pakatan Harapan), sama saja," antara sorakan yang menggamatkan dewan.
Khalid dalam penjelasannya memberitahu, pembangunan Kampung Baru tidak akan sama seperti di Kampung Kerinchi yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Fokus pembangunan Kampung Baru yang dirancang meliputi 70 peratus perumahan dan 30 peratus pembangunan komersial melibatkan keluasan tanah 302 ekar.
Empat langkah penyelesaian dicadangkan kerajaan bagi menjaga kepentingan pemilik dan pewaris tanah iaitu mengambil tunai, memiliki unit siap, mengambil tunai dan unit siap dan terakhir mengambil pulangan sebagai pemegang saham.
Untuk rekod pembangunan ini telah bermula sejak 1984 sebelum beberapa siri perbincangan dilakukan sebelum Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dibentuk 2012.
Pada 17 Disember 2014, Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru dimuktamadkan dengan kelulusan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu sebelum dilancarkan pada 15 Julai 2015.
ARTIKEL BERKAITAN: Apa nasib Kampung Baru?
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!