Dakwaan wang kertas negara ada lemak babi perlu dibuktikan: Mufti
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kenyataan yang dikeluarkan itu perlu disertakan dengan bukti dan dalil yang kukuh selain disahkan oleh pihak berkuasa.
"Kalau kamu mengukirkan satu-satu berita maka hendaklah kamu mentafsirkan berita tersebut dan sekiranya kamu membuat sebarang dakwaan maka datangkanlah dalil.
"Jadi hak untuk menyemak dan meneliti isu ini sudah tentu melibatkan makmal dan kita ada makmal yang baik untuk kita benar-benar memahami apakah dakwaan itu benar atau tidak sebab satu kenyataan perlu kepada penelitian yang kukuh,” katanya ketika ditemui pada Program Konvensyen Rahmah Perak Darul Ridzuan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), di sini hari ini.
Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pensyarah sebuah universiti bahawa ada penggunaan lemak babi dalam proses menghasilkan wang kertas negara.
Dr Zulkifli berkata, beliau yakin kerajaan akan mengambil tindakan yang sewajarnya akan isu tersebut.
"Jadi saya tidak mahu mengulas apa-apa lagi namun (dakwaan itu) mesti didatangkan bukti, dalil untuk mengenalpasti perkara ini.
"Kita seboleh-bolehnya elakkan sebarang bentuk kenyataan-kenyataan yang kadang-kadang boleh mengeruhkan lagi isu ini," katanya.
Pada program tersebut, Dr Zulkifli telah membentangkan kertas kerja yang bertajuk: 'Memperkasakan Kemakmuran Ummat'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!