Pandangan konstruktif diperlukan bagi menjayakan Rahmatan Lil Alamin

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. FOTO SINAR: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof. FOTO SINAR: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

Saya mendapat peluang keemasan pada hari Khamis 19 September baru-baru ini apabila sehari suntuk berada di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyertai Seminar Rahmatan Lil Alamin. Paginya saya buat ucaptama seraya merasmikan majlis. Selepasnya saya membuat keputusan untuk menjadi peserta sehingga tamat pada sesi resolusi di penghujungnya.

Pembentang dijemput dari rantau Asean dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand serta tuan rumah Malaysia. Mereka terdiri dari nama-nama besar seperti Prof Dr Ismail Lutfi dari Universiti Islam Patani, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Muhammad Kamal Hassan, Penasihat Kehormat Pusat Islamisasi UIAM, Dr. Muchlis M. Hanafi, Direktor, Pusat Studi Al-Quran PSQ Jakarta Indonesia dan Dato' Dr Afifi daripada Universiti Oxford yang telah menyampaikan mutiara ilmu mereka untuk dimanfaatkan oleh para peserta.

Saya amat bertuah pada hari tersebut kerana berada dalam 'bilik kelas' semula, mencatit butiran-butiran kuliah ilmiah sambil mendengar kritikan-kritikan secara langsung atau tidak langsung tentang dasar Rahmatan Lil Alamin (RLA) yang sedang diusahakan oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) hari ini.

Jauh dari hingar bingar kritikan bermotifkan politik, para ilmuan pada hari itu mempamerkan keikhlasan kepada ilmu mereka dengan menjelaskan segala disiplin, konsep, isu dan kesan menggagaskan RLA. Amat berbeza kaedah di media sosial oleh sesetengah pihak yang terdorong atas populariti 'menghentam keromo' dasar RLA mengikut lirik diminati pemuja dan peminatnya. Di dewan senat pada hari tersebut tiada pemuja dan peminat yang hendak dilayan tetapi masing-masing melayan ketenangan berbahas dan melontarkan ide tentang RLA secara konstruktif.

Segala kebimbangan tentang RLA yang mungkin difahami secara di luar konteks dikupas dalam suasana keilmuan melalui pemikiran tersusun dan membetuli salah faham. Cedokan RLA di luar konteks seperti gaya berfikir Liberalis Agama, Sekularis dan Perennialis dijadikan garis sempadan kepada fahaman sebenar RLA. Kecairan makna ajaran agama seperti menyamaratakan semua agama serta amalan bercanggah dengan fitrah tidak boleh sama sekali diwajarkan atas nama RLA.

RLA amat luas cakupannya dalam setiap makna kehidupan beribadat dan bermuamalat. Asas hubungan antara manusia diikat atas persaudaraan yang mendambakan kasih-sayang, kebaktian dan kebaikan. Oleh itu, digariskan persaudaraan antara saudara dalam akidah dan saudara dalam kemanusiaan. Kedua-duanya bagi mencapai maksud rahmat Allah kepada ciptaanNya dan panduan perlaksanaannya amat jelas dalam syariat Islam.

Perbahasan sama ada RLA hanya untuk orang Islam atau untuk semua dibahas dengan tuntas oleh para ilmuan hari itu. Memang ada pendapat bahawa RLA untuk orang Islam semata namun ia pandangan yang agak terpencil.

Artikel Berkaitan:

Semua mereka bersetuju RLA adalah untuk Islam dan bukan Islam lalu dibahaskan makna ummatan wahida dalam konteks manusia. Mereka memetik pandangan al- Qaradawi yang meletakkan konsep umat ijabah (yang menerima seruan Islam) dan umat dakwah (yang memerlukan usaha dakwah berterusan memahami Islam dan menerimanya secara sukarela).

Dalil dan bukti bahawa asas kehidupan adalah berteraskan kedamaian dan keharmonian dibahas dalam kerangka RLA. Maka dihujahkan bahawa berbuat birr atau kebaikan dituntut oleh Islam ke atas bukan Islam selagi tiada permusuhan yang dizahirkan oleh bukan Islam termasuk membunuh atau menghalau orang Islam tanpa alasan. Malah konsep bukan Islam dalam pengertian kewarganegaraan dibuat atas konsep ikatan janji untuk memelihara hak dan keadilan buat mereka atas nama saudara senegara.

Petikan dari pandangan ulama silam dan terkini mengukuhkan kewajaran betapa RLA mempengaruhi pandangan mereka untuk memahami nas dan pelaksanaanya dalam dunia waqie. Para pembentang hampir semuanya membina gaya berfikir mereka atas keperluan ini. Ini termasuk pengalaman dari aktiviti yang dilakukan dalam suasana bekerjasama atas keperluan kemanusiaan yang menjadi intipati disiplin konsep RLA.

Saya amat memerlukan pandangan-pandangan konstruktif ini dalam menjayakan dasar pentadbiran Islam yang berteraskan RLA, Maqasid Syarieyah dan Model Malaysia. Ia mengukuhkan lagi apa yang saya yakini sejak awal lagi ketika saya melontarkan ide-ide polisi RLA.

Seminar tersebut kepada saya, memberi ruang untuk saya refleksi diri atas usaha yang sedang saya cuba jayakan. Refleksi diri menjadikan saya lebih yakin dari sudut dhamir saya bahawa apa yang dibahaskan dan dirumuskan tidak bercanggah dengan nawaitu dan fahaman saya selama ini terhadap gagasan besar RLA.

Antaranya ialah peringatan mengambil RLA di luar konteks seperti mengiakan kemungkaran, menyanggahi fitrah dan mencairkan makna beragama mahupun menyamaratakan agama. Saya tidak pernah cuba mengambil RLA dari luar konteks malah sentiasa meletakkan RLA pada prinsip dan perimeter syariah dan bukan hawa nafsu.

Hari itu saya berasa lebih yakin apabila di buat perbandingan ide yang saya fahami selama ini dengan ide yang dilontarkan oleh para pembentang di mana ia telah menghasilkan sinergi jalur berfikir yang saling lengkap melengkapi.

Umpamanya tentang hubungan Islam dan bukan Islam, perlunya membina jambatan kedamaian, perlunya akhlak mulia sesama manusia dan alam, perlunya menangani keseimbangan dalam memahami agama dan bukan mengambil mudah pada ajaran agama dan lebih utama ialah menterjemahkan RLA dalam dasar pendidikan, dakwah, institusi masjid dan pemerintahan. Subhanallah inilah manfaat besar iaitu mengkritik pandangan sendiri dan kita bersedia mendengar pandangan orang lain yang lebih berkaliber.

Momen paling gembira buat saya hari itu ialah menerima resolusi konferensi RLA yang menggariskan langkah-langkah yang positif ke arah melaksanakan RLA dalam konteks fahaman sebenar dan aktiviti-aktiviti untuk menjayakan RLA.

Momen ini sangat bermakna kerana UIAM memberi persetujuan melalui butiran resolusi tentang perlunya RLA disokong, didokong dan diimplementasikan. Komuniti intelektual dan ilmuan serta ulama kini telah menyertai gagasan besar ini untuk dilaksanakan dan ia adalah satu 'endorsement' yang amat memberangsangkan buat kami di JPM (Hal Ehwal Islam) untuk bekerja lebih keras dalam misi menjayakannya.

Hari itu, saya menikmati setiap saat kuliah dan teguran-teguran oleh ulama dan ilmuan kita dan memberi ruang untuk saya membaiki kelemahan-kelemahan saya selama ini. Tidak rugi untuk kembali ke kelas semula demi membaiki fahaman kita dan demi meningkatkan lagi keberkesanan pelaksanaan sesuatu ide. Saya berazam untuk meneruskan dan meluaskan lagi cita-cita RLA untuk rakyat di negara ini menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

Tiada hasrat untuk saya diheret atau mengheret mana-mana pihak untuk membuktikan siapa lebih Islamik. Ia hanyalah hasrat menumpang barakah jejak langkah Nabi Muhammad SAW. Itupun jikalau layak kita mendapat rembisan kerahmatan langkah Baginda. Inilah dorongannya dan saya tidak mampu berjalan seorang diri dalam perjalanan ini melainkan dikuatkan semangat dari para ulama, ilmuan dan mereka yang punya azam yang sama.

Saya yakin dasar RLA dapat diterima oleh semua lapisan rakyat walaupun kenyataan sinikal akan sentiasa di bibir ulama dan ilmuan 'plastik' yang merasakan nuansa sinikal mereka itu hebat kerana berani mengkritik kerajaan yang kononnya tidak jaga Islam. Mereka ini lebih pentingkan populariti daripada amanah ilmu dalam komentar mereka. Semoga kita semua di rahmati ALLAH dalam usaha menjejaki sunnah terbesar Rasulullah iaitu "Rahmatan Lil Alamin"

*Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, Menteri di JPM (Hal Ehwal Islam)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!